Memang tidak dapat dinafikan untuk meraih populariti dalam dunia hiburan bukanlah mudah. Jika bukan kerana berdiri di atas bakat sendiri, artis boleh popular kerana kontroversi atau publisiti murahan.

Kini ada dalam kalangan artis yang telah merudum popularitinya oleh kerana sikap tidak berdisiplin serta terlibat dengan gejala negatif cuba untuk meraih populariti dengan berbagai cara termasuk menyentuh hal politik. Ada yang terpaksa menipu peminat dengan berbagai-bagai hal hanya untuk dapatkan sambutan menggalakkan untuk Muzik Video yang dihasilkan.

Tak kurang juga yang sanggup mencipta kontroversi sendiri demi mempromosikan filem atau drama yang bakal ditayangkan. Kalau tiada gosip maka tiadalah publisiti. Berikut antara helah atau idea selebriti untuk melonjakkan nama untuk cepat popular dan sekaligus namanya akan sentiasa diingati sampai bila-bila.

1. Popular Kerana Menyentuh Isu Politik

Dengan adanya platform mudah untuk berinteraksi dengan peminat seperti Facebook, Instagram dan Twitter, nampaknya selebriti tempatan sangat selesa untuk bersuara megah menyentuh hal isu sensitif dan mampu mengundang kemarahan orang ramai. Kadang-kadang kerana “Marahkan seekor nyamuk, kelambu habis dibakar.” 

Seperti yang terjadi pada pelakon muda Fatiha Latiff yang tak habis-habis mengeluarkan kenyataan yang sering mencetuskan kontroversi. Fathia Latiff kerap kali memuatnaik kenyataan berbaur politik di laman media sosialnya.

IKLAN

Susulan dari hal ini, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Khas Pejabat Perdana Menteri, Datuk Rizal Mansor telah menegur supaya dapatkan fakta sebelum membuat postiing.

“Kini, terdesak untuk meraih semula populariti, beliau cuba membuat posting-posting politik yang beliau sendiri tidak tahu apa yang ditulis. Dapatkan fakta yang betul sebelum menulis dan tulislah dalam keadaan WARAS!!”

Selain Fathia Latif, ramai lagi artis yang menyuarakan pandangan mereka tentang hal kerajaan di media sosial seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Farid Kamil, Adibah Nor dan lain-lain lagi. Nampaknya mereka menjadi tumpuan media kerana kelantangan suara mereka bukannya kerana bakat dalam dunia hiburan.

2. Popular Kerana Kecaman

Macam-macam jenis peminat hari ini. Ada yang teramat obses dengan artis kesayangan mereka. Ada juga yang terlalu ekstrem hingga menghentam artis dengan kata-kata yang menyakitkan. Namun hal ini sangat membantu beberapa orang selebriti untuk meraih populariti. Lagi banyak kecaman dari netizen, makin melonjak nama selebriti itu dalam industri hiburan. Terima Kasih Netizen!

Datuk Seri Aliff Syukri, Datuk Seri Vida, Nur Sajat dan Safiey Illias

Tahukah anda, 4 orang usahawan ini bukanlah selebriti namun mereka lebih popular dari artis-artis ternama di Malaysia.

Datuk Seri Aliff Syukri popular kerana sikapnya yang suka menunjuk-nunjuk kemewahan yang dimilikinya, manakala Datuk Seri Vida popular kerana sering menjadi penaja utama program realiti TV popular seperti Gegar Vaganza (Astro) dan Mentor Millenia (TV3).

IKLAN

Telatah beliau sering menawan hati ramai peminat dan menjadikan dirinya idola kerana sikapnya yang bersahaja. Bukan setakat mempunyai lagunya sendiri berjudul I Am Me, kini beliau sudah menegorak langkah ke bidang lakonan pula.

Sebaliknya pada dua usahawan ini, Nur Sajat dan Safiey Illias menggunakan pendekatan yang berbeza demi meraih populariti sekaligus memantapkan lagi perniagaan masing-masing. Mereka popular kerana status jantina yang agak mengelirukan dan sering mendapat kecaman.

3. Popular Kerana Kisah Percintaan

Rakyat Malaysia sebenarnya suka dengan kisah percintaan artis-artis Malaysia. Kalau boleh mereka mahukan hubungan cinta itu akan berkakhir dengan pernikahan. Selagi tak berkahwin selagi itulah peminat akan bertanya dan ternanti-nanti perkembangan terbaru artis kesayangan mereka.

Fattah Amin, Neelofa, Fazura

Sedarkah anda bagaimana 3 nama selebriti ini menjadi popular secara tiba-tiba? Fattah Amin dan Neelofa semakin popular selepas muncul dalam drama adaptasi novel Suri Hati Mr. Pilot yang bersiaran di Astro Ria. Keserasian antara Neelofa dan Fattah Amin dalam drama tersebut, telah mencetuskan fenomena #Lofattah sekaligus kedua-duanya berjaya bergelar Bintang Popular Berita Harian.

Kisah percintaan mereka berakhir dan muncul pelakon wanita jelita Nur Fazura dalam hidup Fattah. Mereka mula berkenalan ketika sama-sama menjayakan drama Hero Seorang Cinderella yang disiarkan di Slot MegaDrama Astro Ria hingga peminat mencipta gabungan nama berserta tanda pagar #Fattzura. Selepas bernikah, pasangan ini terus popular kerana mereka sering terlihat sangat romantis.

4. Popular Kerana Menipu Peminat

Tak peduli dengan kesan negatif, sebilangan selebriti ini terpaksa menipu peminat atau lebih tepat ia dipanggil gimik. Dalam dunia hiburan, gimik untuk mendapatkan publisiti sememang perlu untuk mempromosikan lagu, muzik video mahupun drama.

Nabila Razali

Kontroversi penyanyi muda Nabila Razali berpura-pura bercinta dengan pelakon Aedy Asyraf undang kemarahan peminatnya. Sebelum ini, kecoh apabila Nabila memuat naik gambar mesra bersama Aedy di laman Instagramnya dengan kapsyen romantis tanpa sebarang penjelasan lanjut. Gimik ini hanya untuk mempromosikan muzik video terbaru Nabila berjudul Pematah hati.

Iqram Dinzly

Nama pelakon ini menjadi popular kerana perilakunya seolah-olah tidak waras hanya sekadar menarik perhatian netizen. Dalam satu kenyataannya di sebuah portal hiburan, Iqram merasakan strateginya berjaya membuat gimik terhadap peminatnya. Bagi Iqram, ini merupakan salah satu cara untuk dia mendapat perhatian umum.

Jangan salahkan artis itu jika dapat raih popular secara mendadak, media perlu mabil peranan memberikan liputan kepada artis berdasarkan bakat seni dan bukan berdasarkan populariti semata-mata.

Ahli Media Harus Main Peranan

Dipetik dari laporan The Malay Mail Online, Ratu jazz negara, Datuk Sheila Majid berkata publisiti terhadap “artis media sosial” misalnya tidak wajar kerana mereka belum terbukti mempunyai hasil kerjaya seni.

“Zaman dulu seronok dan penulis menulis berita tentang kami [penggiat seni] bukan kerana kami tidak popular. Dahulu hendak masuk majalah memang susah, kamu kena capai sesuatu dan itu membuatkan kamu dipandang. Masa itu gembiranya Tuhan saja yang tahu [bila] masuk surat khabar. Sekarang ini sudah macam tiada masalah,” katanya.

Kesimpulannya, nilai populariti seseorang artis atau selebriti itu bukanlah terletak pada bakat tetapi pada kontroversi yang melanda. Lebih banyak kontroversi lebih tinggilah mertabat artis itu di persada dunia hiburan. Setuju tak?