Satu penghinaan yang sukar digambarkan! Begitulah yang terjadi pada kami di murai.my yang pada asalnya sangat teruja dijemput untuk menyaksikan sebuah pertunjukkan fesyen oleh pereka fesyen terkenal namun sebaliknya berlaku.

Pertunjukkan fesyen koleksi khas busana Aidilfitri yang diadakan di Damansara itu telah dihadiri oleh ramai selebriti termasuk Rozita Che Wan, Ziana Zain, Umie Aida, Hanis Zalikha, dan ramai lagi.

Lazimnya pertunjukkan fesyen sebegini akan diberikan keutamaan untuk selebriti mendapat tempat duduk yang sesuai memandang mereka sebenarnya tumpuan utama untuk acara itu.

IKLAN

Selepas mendaftarkan diri sebagai tetamu dan ahli media, pihak penganjur telah memberikan nombor kerusi kepada kami yang telah disusun di dalam dewan pertunjukkan.

Kami patuh dengan arahan pihak penganjur sehinggakan kami berlegar-legar di dalam dewan kerana mencari tempat duduk seperti nombor yang tertera pada kad diberikan.

Disuruh Mengosongkan Tempat Duduk

Selepas beberapa minit kami duduk menunggu acara bermula, situasi mulai tegang apabila pihak penganjur telah menyuruh mengosongkan tempat duduk kami untuk diberikan kepada tetamu ‘terhormat’. SERIUS!?

Agak-agak siapa tetamu terhormat yang dimaksudkan?

Tanpa rasa bersalah, pihak penganjur meminta kami untuk berdiri sepanjang acara dijalankan. Di saat kami terpaksa bangun dari tempat duduk yang ‘bernombor’ itu, terdengar bisikkan halus mengatakan tetamu ‘terhormat’ itu merupakan teman-teman artis popular yang menjadi ‘lime light’ utama pada malam tersebut. Hebatkan aura seorang Diva?

Artis popular itu antara tetamu yang muncul beberapa minit sebelum acara bermula.

Kami tidak ada masalah untuk berdiri sepanjang pertunjukkan fesyen ini berlangsung, namun kami agak kecewa terhadap pihak penganjur kerana dilayan sebegitu. Lebih dikesali,  kami hadir bukan untuk bertujuan untuk berhibur tetapi memberi komitmen terhadap kerja kami sebagai ahli media.

Walaupun pihak penganjur telah memohon maaf di atas kesalahan mereka, bagi kami selepas ini pihak penganjur seharusnya lebih peka menjaga tetamu supaya tetamu pulang dengan hati gembira menulis cerita untuk jenama anda!

IKLAN