Kuala Lumpur, 14 Jun 2019 – Selama 60 tahun, MINI telah mendepani budaya kontemporari di persada dunia dan tempatan. Seperti mana budaya dan gaya hidup yang pelbagai dirintis dari setiap pelosok dunia, citra keghairahan kekal sebagai nadi jenama MINI.
Untuk meraikan jiwa jenama MINI yang berusia 60 tahun ini, MINI Malaysia mengimbau kembali enam pencapaian yang dilakar dalam halaman sejarah MINI dan peristiwa-peristiwa yang telah membentuk budaya kontemporari ketika itu.
1959
Mini yang pertama diperkenalkan dan menjadi ikon dalam dunia automotif pada tahun ini. Perang baru berakhir dan dunia dibelenggu dengan kekurangan bahan api, Sir Alec Issigonis telah menukar krisis ini kepada satu peluang dengan menzahirkan sebuah kenderaan kecil yang mempraktikkan penggunaan ruang secara kreatif.
Sejak itu, Mini telah mencetus revolusi dan mengubah acuan yang diguna pakai oleh industri automotif. Sehingga ke hari ini, warga MINI atau ‘MINIacs’ masih menggilakan gaya pemanduan ala go-kart yang dibawakan oleh MINI dengan sistem suspensinya yang inovatif.
Pada tahun yang sama, ketika Malaysia yang baru sahaja mengecapi kemerdekaan telah mengadakan Pilihan Raya Umum yang pertama; menubuhkan Bank Negara, iaitu Pusat Bank yang pertama bagi negara ini; serta bertanding dalam Sukan Semenanjung Asia Tenggara (SEAP) edisi pertama yang diadakan di Bangkok, Thailand. Kontinjen Malaysia pulang dengan 8 pingat emas, 15 pingat perak serta 11 pingat gangsa dan menggarap tempat ketiga di acara tersebut.
Bukan itu sahaja, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Yang di-Pertuan Agong terkini dan yang ke-16 diputerakan pada tahun tersebut; raja pop Malaysia, Jamal Abdillah juga dilahirkan pada tahun yang sama.
1959 turut menyaksikan patung Barbie dirungkaikan buat julung kali sewaktu pameran, American Toy Fair yang berlangsung di Bandar Raya New York. Barbie merupakan patung mainan pertama yang dikeluarkan secara besar-besaran di Amerika Syarikat yang tampil dengan struktur badan manusia yang sebenar. Ia diilhamkan oleh karakter komik Jerman, ‘Lilli’ yang menyaksikan hak ciptanya diambil alih oleh Mattel dan kemudiannya menjurus kepada penamaan semula karakter tersebut sebagai ‘Barbara’ – sempena nama anak pengasas syarikat itu sendiri.
Tahun 1959 juga akan diingati untuk pencapaian penting yang lain seperti pengenalan mesin pencetak Xerox yang pertama, Anugerah Grammy yang pertama, penubuhan stesen cuaca yang pertama di ruang angkasa, dan gambar bumi yang pertama diambil dari angkasa lepas, iaitu swafoto yang pertama!
2001
Dengan tumpuan yang diberikan terhadap kecemerlangan nyata dan kualitatif sambil menyuntik nafas baharu ke atas elemen reka bentuk ikoniknya, BMW Group telah memperkenalkan MINI semula sebagai jenama premium pada tahun 2001. Dari jentera unggul MINI 3-Door Hatch sehingga MINI 5-Door Hatch, barisan yang terdiri daripada lima kereta telah berputik daripada Mini ikonik yang asal – setiap satu daripadanya dirumus untuk memenuhi tuntutan orang ramai yang mahukan fleksibiliti dan untuk memenuhi tabiat pemanduan yang berlainan.
Di Malaysia pada tahun 2001, pesawat B777 milik Malaysian Airlines, iaitu sebuah pesawat komersial dengan enjin berkembar mewakili rantau Asia dengan membuat penerbangan pertama merentasi Kutub Utara. Sementara itu, Putrajaya, iaitu pusat pentadbiran persekutuan Malaysia dinamakan sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun yang sama.
Revolusi muzik juga dicetuskan oleh Apple yang telah memperkenalkan iPod buat julung kalinya pada bulan Oktober 2001 untuk seluruh dunia. Ia hadir dengan kapasiti muatan data bersaiz 5GB yang mampu memuatkan seribu lagu MP3 – rentetan itu, iPod berslogankan: “1,000 lagu dalam poket anda”. Pada masa yang sama, Wikipedia, iaitu portal sumber maklumat yang merekodkan fakta-fakta ini juga diaktifkan pada tahun tersebut.
2008
Jangka waktu yang bermakna buat MINI, pengenalan MINI John Cooper Works dan MINI John Cooper Works Clubman dizahirkan melalui pengambilalihan John Cooper Works (JCW) yang dibuat oleh BMW Group pada tahun 2008.
Sensasi jiwa perlumbaan yang dibawakan oleh jenama MINI John Cooper Works tidak lagi terhad pada enjinnya sahaja, malah model-model kenderaan ini juga dibangunkan semula dengan penerapan DNA dan karakter berlandaskan prestasi serta keupayaan jentera perlumbaan.
Pada tahun itu, Malaysia turut menyaksikan pembukaan ‘Eye on Malaysia’ di roda Ferris gergasi yang terletak di Taman Kota Laksamana, berhampiran dengan Sungai Melaka. Di sini, para pengunjung telah menikmati pandangan panoramik 360 darjah yang berjarak lebih daripada 20 kilometer dalam lingkungan kota bersejarah ini. Bandar Melaka dan George Town di Pulau Pinang juga tersenarai sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Manakala sebuah peristiwa yang membawa gelombang perubahan di seluruh dunia menyaksikan Barack Obama dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat – ia menjadikan beliau presiden berwarga Afrika-Amerika yang pertama di negara tersebut.
2010
Buat pertama kali, MINI telah memperkenalkan MINI Countryman – model pertama dalam barisan kenderaan ini yang didatangkan dengan empat pintu serta pelitup belakang yang luas. MINI Countryman mencerminkan sebuah kesinambungan yang tulen di antara konsep klasik MINI serta kenderaan SAV (Sports Activity Vehicle) yang moden, ditawarkan dengan opsyen sistem pacuan semua roda, MINI ALL4.
2010 juga menandakan Hari Malaysia yang pertama diraikan pada 16 September sebagai cuti umum.
Di peringkat global pula, Apple telah membawakan iPad yang pertama, manakala syarikat Finland bernama Rovio melancarkan aplikasi permainan video yang terbesar berjudul ‘Angry Birds’, yang menjadi aplikasi iPhone terlaris pada tahun 2010. Pada tahun yang sama, pelakon dan pelawak ikonik – Betty White – mengambil alih budaya pop Amerika dengan penampilannya dalam iklan Snickers untuk pertandingan Super Bowl. Peminat beliau kemudian melancarkan petisyen untuk menjadikannya hos bagi acara hiburan larut malam, Saturday Night Live (SNL). Pada 8 Mei, pada usia 88 tahun, beliau adalah hos tertua bagi SNL.
2018
Sensasi pemanduan MINI yang tersendiri dan menyeronokkan memasuki dimensi yang baharu di Malaysia melalui pengenalan MINI Countryman Plug-In Hybrid yang sulung, mengembangkan lagi portfolio Mobiliti Masa Hadapan milik BMW Group Malaysia. Sejak itu, ia telah membawa aspek kelestarian mobiliti ke aras yang baharu, mendemonstrasikan kepakaran MINI dalam pembangunan teknologi-teknologi terbaharu untuk industri automotif premium.
Seperti peristiwa signifikan yang menyaksikan pelantikan Barack Obama sebagai presiden Amerika Syarikat, Pakatan Harapan berjaya menundukkan pemerintahan parti Barisan Nasional yang telah berkuasa selama enam dekad dengan memenangi Pilihan Raya Umum ke-14. Tun Dr. Mahathir Mohamad memainkan semula peranannya sebagai Perdana Menteri yang kembali memerintah selepas 40 tahun, dan peristiwa ini menjadikan beliau Perdana Menteri ikonik yang tertua.
Di persada antarabangsa, Black Panther telah memecahkan pelbagai rekod perfileman dan dinobatkan sebagai filem adiwira solo yang mencatat kutipan tertinggi, serta gelaran yang diberikan oleh orang ramai sebagai filem terbaik yang dinukilkan dalam Dunia Sinematik Marvel. Kesignifikan elemen budaya yang dibawakan oleh filem ini disambut dan diraikan oleh orang ramai atas barisan pelakon yang diketengahkan majoritinya terdiri daripada pelakon-pelakon Afrika-Amerika, ia melambangkan kemajuan yang dikecapi dalam dunia perfileman Hollywood melibatkan bangsa.
2019
Baru sahaja berada di pertengahan tahun, namun 2019 merupakan satu lagi tahun yang luar biasa bagi MINI serta dunia budaya pop. Buat pertama kali, sekumpulan saintis – termasuk seorang warga Malaysia – berjaya merakamkan imej pertama sebuah Lohong Hitam dengan menggunakan rangkaian lapan teleskop, yang kemudiannya diproses oleh algoritma kompleks milik Dr. Katie Bouman.
MINI sentiasa mencabar batasan dari segi keseronokan pemanduan, reka bentuk serta elemen keindividualan yang diterapkan olehnya, dan pada tahun 2019, MINI meraikan ikhtiar mereka ini yang berusia 60 tahun.
Merentasi pelbagai generasi, sensasi pemanduan ala go-kart serta penggunaan ruang interior yang optimum terus menarik perhatian peminat-peminat yang baharu saban tahun. Untuk menandakan perayaan ulang tahun ini, MINI mempersembahkan reka bentuk Ulang Tahun ke-60 yang ikonik untuk mencerminkan asal usul Britishnya serta karakter MINI yang terus mengarah ke hadapan – bersifat kontemporari, namun kekal dengan tradisinya yang tersendiri.
MINI Malaysia akan meraikan ulang tahun MINI yang ke-60 pada bulan Julai ini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.