Kuala Lumpur, 23 Julai 2019 – BMW Malaysia telah memperkenalkan BMW Z4 yang baharu, jentera roadster terkini daripada pengeluar kenderaan premium tersebut, ia tampil dengan reka bentuk emotif serta interior yang sempurna dan berfokuskan pemandu.
BMW Z4 yang baharu digayakan dengan struktur menonjol yang seimbang, dan menggandingkan kelebihan serba lasak dengan pelbagai ciri-ciri serta aspek keterhubungan yang canggih dan bertaraf tinggi seperti ‘BMW Live Cockpit Professional’ dan kunci digital yang dinamakan, ‘BMW Digital Key’.
Dibuktikan sebagai jentera pemanduan yang sebenar, BMW Z4 baharu ini ditawarkan menerusi varian BMW Z4 sDrive30i M Sport yang berupaya mencecah kelajuan 0-100
km/j dalam masa 5.4 saat sahaja.
Estetika tulen yang dipakejkan dalam gaya reka bentuk yang baharu.
Pendefinisian semula DNA roadster yang ikonik dan konvensional dengan reka bentuk serba moden lagi kontemporari, berasaskan siluet klasik yang renek dan mengunjur dengan rungkup pendek, BMW Z4 yang baharu ditawarkan di Malaysia secara eksklusif melalui trim ‘M Sport’.
Roadster premium daripada BMW terus memukau dengan impresi eksteriornya yang mengagumkan, kini menampilkan peningkatan dalam saiz kepanjangannya sebanyak 85 mm (4,324 mm), kelebaran pula sebanyak 74 mm (1,864 mm), dan sedikit peningkatan pada paras ketinggiannya sebanyak 13 mm (1,304 mm) berbanding model yang terdahulu.
Trek tayar yang lebih luas juga menyumbang kepada olahan pembelokan yang lebih stabil dan lincah, manakala jarak roda yang lebih pendek memberikan lingkaran pembelokan yang lebih kecil bagi jentera BMW Z4 keluaran baharu ini. Pusat graviti yang lebih rendah dan lebih sentral pula menawarkan keupayaan pengendalian yang lagi lasak.
Pentafsiran semula yang luar biasa bagi elemen klasik kenderaan ini meletakkan BMW Z4 baharu di hadapan persaingannya dengan reka bentuk gril ‘kidney’ yang kompleks –
kini ditetapkan di kedudukan yang lebih rendah dengan struktur grid yang lebih menawan.
Di samping itu, lampu hadapan LED bersusun secara vertikal yang didatangkan dengan tiub rekaan unik dalam corak heksagon, serta lampu strip yang langsing di sudut ruangan dalam lampu hadapan tersebut berfungsi sebagai indikator bagi jentera roadster baharu ini.
Dari bahagian belakang, unit lampu belakang 3D yang langsing serta reka bentuk spoiler bersepadu, digandingkan dengan kerenekan badan kenderaan ini dan kedudukan lampu mengundur pada paras yang rendah menjurus kepada sebuah penampilan yang keseluruhannya tampak rapi dan kemas.
Ruang but dan kompartmen pintu yang lebih besar serta ruang penyimpanan tambahan terletak di belakang tempat duduk juga bermanfaat kepada pemandu yang sering memerlukan ruang tambahan, di samping ruang kaki yang diperluaskan untuk keselesaan ketika memandu.
Enjin berkuasa tinggi, casis yang ditambah baik secara sistematik.
BMW Z4 baharu didatangkan dengan enjin empat silinder 2.0 liter yang mampu menjana 190 kW/258 kk dengan puncak tork berjumlah 400 Nm daripada lingkungan 1,550 hingga 4,400 rpm serta kelajuan tertinggi mencecah 250 km/j.
Roadster premium terunggul ini juga tidak dapat ditandingi oleh jentera lain dalam kelas seumpamanya dengan penalaan suspensi yang sempurna, ketepatan pengendalian yang lebih mantap dan sistem pacuan tayar belakang dinamik yang membolehkan pengendalian dilakukan dengan lebih baik tanpa terkesan daripada pacuan tork.
Pusat graviti yang rendah serta distribusi berat hadapan-ke-belakang yang saksama mempamerkan karakter roadster BMW yang benar-benar klasik. BMW Z4 sDrive30i menawarkan komponen-komponen yang tercanggih dalam industri automotif seperti transmisi ‘Steptronic Sport’ lapan kelajuan, ‘M Sport Suspension’ dan ‘Variable Sport Steering’.
Berpaksikan pemandu dengan karakter premium.
Di dalam, BMW Z4 yang baharu mengilhamkan kenikmatan pemanduan yang tiada tandingannya dengan reka bentuk kokpit yang berfokuskan pemandu. Ruang interior dihiasi dengan kokpit dua tempat duduk serba sporty, bumbung kanvas klasik, permukaan trim interior yang minimalis dengan tempat duduk yang dilaraskan pada kedudukan rendah untuk membolehkan pemandu merasai sebuah kenderaan premium yang sebenar.
Aspek kawalan dikelompokkan dalam ruang kefungsian (‘function islands’) untuk kemudahan pengguna, sementara sebuah karya kenderaan ini yang menawan dapat dilihat dalam bentuk pencahayaan ambien yang inovatif, ia membolehkan pemandu menetapkan mood pencahayaan pilihan mereka dengan warna-warna yang menenangkan seperti ungu lembut (lilac) dan hijau lembut (mint).
‘BMW Live Cockpit Professional’ diletakkan secara strategik di paras yang sesuai, paparan informasi sesentuh sentral membekalkan pemandu informasi secara langsung
menerusi sudut pandangan yang tidak terhalang. Dari segi pengenalan inovasi terkemuka dalam industri ini, BMW Z4 baharu juga menampilkan BMW Digital Key yang membolehkan pemandu mengakses kenderaan ini dengan penggunaan telefon pintar Android yang tertentu.
Kunci digital ini mengguna pakai teknologi Near Field Communication (NFC) untuk membolehkan kereta sport mewah ini dibuka dan dikunci menggunakan telefon pintar. Peranti mudah alih pengguna hanya perlu dihalakan berdekatan dengan pemegang pintu untuk mengakses kenderaan tersebut. Di dalam, enjin jentera ini boleh dihidupkan sebaik sahaja telefon pengguna diletakkan di ruang telefon pintar yang disediakan, ruang tersebut turut memiliki keupayaan pengecasan tanpa wayar. Menerusi ‘BMW Connected App’, kunci digital ini membolehkan pemandu berkongsi kunci akses ke atas kenderaan mereka dengan sebanyak lima orang pada masa yang sama.
Dari segi penawaran warna, BMW Z4 baharu menawarkan empat warna eksterior yang vibran iaitu, merah (San Francisco Red), biru (Misano Blue), hitam (Black Sapphire) dan putih (Alpine White) dipadankan dengan pilihan interior dalam warna hitam (Black décor) juga dengan sulaman berwarna hitam, warna merah (Magma Red) dengan sulaman hitam atau warna perang-merah (Cognac) dengan sulaman hitam.
BMW Z4 terbaharu boleh didapati daripada kesemua pengedar BMW bertauliah di seluruh negara bermula dari hari ini. Ataupun, anda boleh melayari www.bmwbethefirst.com.my untuk membuat tempahan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.