Tanggal 2 Ogos 2019 sudah pastinya akan menjadi satu tarikh keramat buat penyanyi dan komposer terkenal Faizal Tahir apabila dia telah nekad untuk meletakkan tanda noktah pada penghasilan albumnya. Justeru itu, dalam sebuah sidang media khas, Faizal atau nama sebenarnya Ahmad Faizal bin Mohammad Tahir mengambil kesempatan untuk melancarkan album nya yang terakhir berjudul ‘Rojak’.
Disebalik pengumuman tersebut, ramai peminat keliru adakah ini bermakna Faizal tidak akan lagi berkarya atau muncul dalam mana-mana persembahan atau sekadar mengumumkan album yang terakhir? Buat anda yang tertanya-tanya, menerusi temubual murai.my bersama penyanyi ini, berikut adalah beberapa fakta yang anda perlu ketahui.
Muktamad ‘Rojak’ Adalah Album Yang Terakhir
Mengejutkan! Itulah yang digambarkan oleh peminat dan rakan-rakan artis apabila Faizal mengumumkan Rojak adalah albumnya yang terakhir. Menurut Faizal biarpun dipujuk daripada pelbagai pihak, namun baginya ini adalah keputusan muktamad. Menolak soal merajuk dan sebagainya, jelas Faizal keputusan ini dibuat kerana ingin menumpukan perhatian kepada keluarganya selain mengambil kira faktor relevannya penghasilan album di masa kini.
“Sebenarnya jujur saya cakap penghasilan album sekarang seperti sudah tidak relevan. Bukannya apa dengan peredaran zaman dan pengembangan teknologi kita kena ‘adapt’ dan bukannya menolak. Jadi apa yang diterima sekarang, kita juga kena ikut perkembangan”
Memuatkan 9 Buah Lagu
Untuk yang tertanya, album Rojak memuatkan 9 buah lagu dan antara yang pernah dikeluarkan sebelum ini adalah seperti Ragaman, Bisa Aja, Starfeather dan yang paling baru adalah Ratu. Sebagai bonus buat peminat, album ini turut memuatkan tiga lagu baharu berjudul Kamu, Until We Meet Again dan lagu runut bunyi untuk filem animasi Boboiboy Movie 2 berjudul Fire & Water.
Sebab Nama Album Rojak
Ramai yang tertanya mengapa album ini dinamakan rojak. Menurut Faizal, pada mulanya sudah ada perancangan lain untuk menamakan album ini. Namun suatu hari, mengambil kira dan sayang akan tanah air tercinta yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, Faizal menamakannnya sebagai rojak.
“Lihatlah sekeliling kita. Kita semua adalah rojak sebab kita mampu bersatu dan bergaul antara satu sama lain tidak kira kaum. Keluarga saya sendiri adalah rojak yang terdiri daripada kacukan pelbagai kaum. Sebenarnya saya dah ada nama lain yang agak bombastik tapi satu hari saya rasa macam tiada kesinambungan. Jadi semasa saya travel ke pelbagai tempat, saya sedar tiada negara terbaik macam Malaysia”
Perjalanan Seni Masih Diteruskan
Biarpun telah mengumumkan album yang terakhir, namun perjalanan seninya tidaklah terhenti disitu sahaja. Enggan peminat keliru, tegas Faizal ianya hanyalah sekadar album terakhir dan perjalanan seni akan diteruskan sekiranya mendapat keinginannya sendiri.
“Mana mungkin saya akan berhenti. Saya masih mahu berkarya. Saya akan teruskan menyanyi namun tengok pada keadaan dan kesesuaian”
Akan Berehat Panjang Selepas Album Rojak
Jelas Faizal, selepas sahaja mempromosikan album Rojak, dia akan berehat panjang daripada industri seni. Bagi Faizal dia akui sebelum ini masanya terlalu sibuk biarpub peminat hanya melihat dia menyanyi. Disebaliknya jelas penyanyi ini, dia bekerja sama seperti orang lain jadi inilah masanya untuk dia berehat seketika dan ingin bersama keluarga nya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.