Filem Mahathir, The Journey adalah sebuah filem oleh Reliance Media Group Sdn Bhd, mengenai Perdana Menteri Malaysia ke 7, Tun Dr Mahathir Mohamad. Filem ini masih dalam proses penggambaran dan dijangka akan selesai pada penghujung bulan Februari.
Filem arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan dengan kos kira-kira RM6 juta itu dirancang akan memulakan tayangan pada Julai 2020 ini sempena ulang tahun Tun M.
Hampir keseluruhan filem ini menceritakan perjalanan kehidupan Tun M selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.
Disebabkan filem ini lambat lagi akan ditayangkan, pasti ramai yang tertanya-tanya apakah keunikan dan kelainan yang pihak produksi dan pengarah berikan dalam filem ini.
Murai.my berkesempatan menemubual Penerbit Reliance Media Group Sdn Bhd, Yusuf Kelana, ketika ditemui semasa proses penggambaran berlangsung di Sheraton Hotel, Petaling Jaya.
Yusuf berkata, filem ini bakal mendedahkan beberapa peristiwa yang tidak diketahui orang ramai dalam perjalanan hidup Tun M.
“Banyak babak ‘The Untold Story’ (Kisah tak diceritakan) akan dipaparkan dalam filem ini. Yang pasti ramai penonton akan terkejut dan terkesan apabila mengetahui hal sebenar dari kisah perjalanan hidup Tun M”- katanya.
Berikut 2 babak ‘The Untold Story’, yang bakal dipertontonkan kepada orang ramai nanti.
Tun M Merajuk Bawa Diri Ke Luar Negara
Menurut Yusuf, terdapat satu babak di mana Tun M merajuk dan membawa diri ke luar negara. Kemudian seorang ahli politik wanita mencari Tun M di luar negara untuk memujuknya. Hal ini memang tidak diketahui orang ramai namun ia akan di rungkai dalam filem Mahathir, The Journey.
Nak tahu kenapa Tun M merajuk dan siapa yang memujuk? Sama-sama kita nantikan!
Sabotaj
Berita mengenai Tun M mendakwa pesawat disabotaj pernah menjadi isi panas di dada-dada akhbar. Difahamkan ketika itu Tun M hendak menaiki pesawat berkenaan ke Langkawi bagi proses penamaan calon Pilihan Raya ke-14.
Hal ini telah menimbulkan banyak spekulasi dari orang ramai. Susulan dari isu itu, Yusuf berkata, perjalanan cerita mengapa Tun M disabotaj dan bagaimana beliau boleh terbang ke Langkawi walaupun pesawat rosak akan didedahkan dalam filem filem Mahathir, The Journey.
Mahathir, The Journey dibintangi oleh pelakon Azhar Amir (Dr Mahathir), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Hilal Azman (Datuk Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah Anwar), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), Afieq Hussain (Datuk Seri Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).
Menurut Yusuf, sehingga hari ini filem ini telah siap sebanyak 70 peratus dan melibatkan hampir 200 orang awam sebagai pelakon tambahan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.