Pada mata kasar, umum melihat kaum wanita lebih boros dalam berbelanja. Namun hakikatnya, jika diperhatikan betul-betul, kaum lelaki juga tidak kurang hebatnya. Apabila disoal mengenai isu kewangan, kaum lelaki akan bersikap acuh tidak acuh. Jadi kesimpulannya disini, lelaki atau wanita, siapa sahaja yang tidak suka berbelanja bukan?
Ramai juga yang dilihat hidup mewah di awal bulan dan sesak di hujung bulan. Cuba teliti tanda-tanda orang yang terlebih berbelanja atau lebih tepat boros yang akan kami senaraikan di sini. Fikirkanlah..
Menggunakan Wang Simpanan
Dalam kedaan terdesak, mungkin wang simpanan akan menjadi sasaran. Ia sebenarnya satu perbuatan yang merugikan. Mungkin anda mengeluarkan simpanan di dalam akaun bank, amanah saham, insurans atau sebagainya hanya untuk membayar bil-bil tertunggak anda. Akhirnya anda akan kehilangan simpanan untuk masa depan anda sendiri.
Membuat Pinjaman Untuk Membayar Hutang
Keadaan ini samalah seperti ‘gali lubang, tutup lubang’. Keadaan ini juga sebenarnya tidak akan dapat menyelesaikan masalah kerana anda perlu menanggung beban faedah yang tinggi yang dikenakan oleh pihak pemberi hutang kepada anda. Anda juga mungkin berhadapan dengan risiko muflis jika nilai hutang anda sudah terlalu tinggi.
Menerima Notis Lewat Bayar
Kadang kala anda mungkin tidak menyedari notis-notis pembayaran yang dihantar melalui peti surat atau email anda. Mungkin ada sesetengahnya yang sudah terlewat. Ketika ini anda mungkin di dalam dilema untuk memilih bil yang mana satukah yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu. Situasi ini kerap terjadi terutamanya pada golongan yang masih bujang.
Dibebani Hutang
Anda membuat pinjaman kenderaan atau pinjaman peribadi. Di masa hadapan, jika anda mengalami kesukaran membuat semua pembayaran tepat pada waktunya, peluang anda untuk bebas daripada hutang dalam jangka masa panjang agak sukar. Ketika itu, jika pembayaran semula pinjaman berserta faedah melebihi 30 peratus daripada pendapatan anda atau mungkin nilai hartanah ketika itu naik melambung, anda juga mungkin bakal berhadapan dengan masalah beban hutang untuk jangka masa yang panjang dan tiada berkesudahan.
Berbelanja Menggunakan Kad Kredit
Anda berbelanja menggunakan kad kredit walaupun anda memiliki wang tunai di tangan. Selain itu, perbuatan mengeluarkan sejumlah wang tunai menggunakan kad kredit untuk tujuan membeli barangan yang tidak perlu juga boleh menjadikan anda mengumpul nilai hutang secara tidak sengaja.
Membelanjakan Wang Yang Belum Diperolehi
Anda suka hidup bermewah-mewah dan berbelanja berlebihan daripada jumlah pendapatan anda yang sebenarnya. Penggunaan kad kredit tanpa kawalan juga akan menyebabkan anda akan mengumpul lebih banyak hutang tanpa anda sedari.
Tidak Sedar Kemana Wang Yang Dibelanjakan
Anda telah sampai ke satu tahap di mana wang amat sukar didapati ketika anda ingin membeli barangan asas seperti membeli barangan dapur, makanan mahupun pakaian. Pada masa yang sama, anda tidak pula berusaha untuk membuat ‘post moterm‘ ke atas semua wang yang telah dibelanjakan sebelum ini.
Tidak Sedar Akan Jumlah Perbelanjaan Sebenar
Anda selalu mengeluarkan wang untuk berbelanja tetapi tidak menyedari kemana wang itu dibelanjakan (contohnya membeli barangan mewah). Awasi jika ini berlaku, anda berada dalam kedudukan yang berpotensi untuk dilanda masalah kewangan yang berterusan. Sebolehnya lakukan catatan terhadap semua perbelanjaan seharian anda.
Jika anda adalah seorang yang memiliki ciri-ciri seperti yang disenaraikan di atas, anda perlu ubah sikap anda dan bijak untuk mengawal nafsu dari membeli barangan yang bukan keperluan. Jangan menyesal di kemudian hari.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.