Walaupun kedengaran seperti sesuatu yang memenatkan apa lagi jika ianya dilakukan untuk jarak yang jauh, tetapi aktiviti berjalan kaki ini sebenarnya mempunyai beberapa kelebihan dan kebaikan yang tersendiri. Namun, masih ramai lagi yang tak sanggup berjalan walaupun pada jarak yang dekat. Mereka lebih rela menaiki motosikal atau kereta. Ini bermakna, golongan seperti ini telah kehilangan manfaat yang besar.
Ada kajian mendapati bahawa dengan berjalan kaki selama 20 hingga 25 batu seminggu dapat memanjangkan usia kita berbanding mereka yang malas untuk berbuat demikian. Berjalan kaki juga akan membantu menguatkan tulang, mengawal berat badan dan baik untuk kesihatan jantung serta paru-paru. Selain itu, aktiviti berjalan kaki juga ada banyak lagi kelebihan dan kebaikan lain yang mungkin anda sendiri tidak tahu.
Aktiviti ini dapat membantu menguatkan otot-otot kaki dan menjadikan kaki anda lebih sihat. Kaki sebenarnya adalah salah satu anggota yang luar biasa dari keseluruhan rangka manusia. Dari pinggang sampai ke ibu jari kaki, terdapat 60 jaringan tulang yang berbeza.
Rata-rata manusia kebanyakannya akan berjalan sejauh 150 km bersamaan dengan 9,000 langkah setiap hari. Berbanding joging, berjalan kaki sebenarnya jauh lebih baik dan paling mudah kerana ia dapat mengurangkan tekanan pada bahagian tubuh termasuk paha, lutut dan juga buku lali. Namun, aktiviti memanaskan badan adalah penting sebelum melakukan senaman dan diikuti dengan regangan ringan. Sementara itu, pemilihan kasut yang sesuai dan agak longgar di bahagian hadapan harus diberi perhatian bagi memberikan keselesaan ketika berjalan serta dapat menghindarkan dari rasa sakit.
Berjalan kaki selama 20 minit mampu memanjangkan hayat manusia antara 1 hingga 5 tahun dan juga dapat membakar lemak sebanyak 7 paun dalam setahun. Jika anda mampu melakukannya selama 40 minit, ini adalah cara yang lebih baik untuk menurunkan berat badan dengan cara yang sihat.
Mari kita lihat pula bagaimana langkah-langkah untuk penjagaan kaki. Walaupun fungsinya hanya sekadar berjalan, namun kaki juga memerlukan penjagaan yang rapi agar sentiasa bersih. Ramai di kalangan kita yang merasakan penjagaan kaki bukanlah sesuatu yang penting untuk dijaga berbanding dengan penjagaan rambut atau muka. Disini kami senaraikan 3 langkah penjagaan kaki yang boleh anda lakukan untuk menjaga kaki agar sentiasa sihat.
Rendam Kaki Dengan Air Sejuk
Kaki yang direndam dan dibasuh dengan menggunakan air sejuk atau ais mampu untuk meningkatkan peredaran darah. Kebiasaannya para atlet akan selalu merendamkan kaki didalam ais setelah melakukan senaman berat bagi mengurangkan bengkak dan meringankan rasa sakit. Ini juga dapat menghindarkan dari kelembapan yang boleh menyebabkan kaki berbau.
Mengangkat Kaki
Duduk atau berdiri dalam masa yang agak lama sepanjang hari boleh menyebabkan kaki dan pergelangan kaki akan membengkak dan sakit. Ianya berlaku adalah disebabkan bahagian kaki yang tidak aktif sehingga memberi kesan kepada peredaran darah secara normal. Ketika berjalan, darah akan dipam kembali ke jantung. mengangkat kaki selama 10 minit sehari juga dapat membantu untuk melancarkan aktiviti ini.
Menjaga Berat Badan
Obesiti selalu dikaitkan dengan osteoartritis (kehilangan tulang rawan) yang biasanya akan memberikan kesan pada lutut dan pinggul. Beban yang terlalu berat juga boleh menyebabkan pengembangan pada pembuluh darah.
Berjalan kaki adalah cara terbaik untuk menggerakkan otot kaki dan mampu mengurangkan lemak dalam badan. Ia juga dapat melancarkan peredaran darah. Cara jalan yang baik adalah dengan cara berjalan dengan tegak, lebih rata dan santai. Hindari daripada berjalan menunduk kerana ini akan membuatkan badan juga menjadi bongkok.
Tip tambahan: Waktu yang paling sesuai untuk aktiviti berjalan kaki adalah pada waktu pagi kerana udara pada waktu ini sangat segar diiringi dengan bunyian kicauan burung.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.