Pada bulan lalu, pelakon Nabila Huda memuat naik satu hantaran video di laman Instagram kononnya rumahnya diceroboh oleh orang yang tidak dikenali sekaligus membuatkan ramai peminat termasuk kenalan selebriti berasa cemas dan bimbang dengan keadaan dirinya.

Gimik The Masked Singer 

Bagaimanapun menurut Nabila atau juga mesra disapa sebagai Abil, video tersebut hanyalah sebuah gimik bagi menjayakan promosi program terbaharu terbitan Astro, The Masked Singer yang mana pelakon ini telah dipilih sebagai salah seorang juri tetap program realiti itu.

IKLAN

“Sebenarnya yang cemas itu saya hanya berlakon. Memang masa saya buat benda itu memang ada masked yang saya nampak dan bukannya hantu, ianya adalah The Masked Singer”

“Dia macam part of the gimmick lah sebenarnya. Tapi dia bukanlah gimik sangat dia lebih kepada teaser untuk The Masked Singer,” katanya kepada Murai.my.

Serba Salah

Di kesempatan itu, Abil memohon maaf serta akui merasa serba salah selepas mengetahui ramai yang begitu risaukan keadaannya termasuklah beberapa orang rakan selebriti terdekat yang juga jirannya seperti Fizz Firuz dan Nabil Ahmad. Malah dedah Nabila, ada diantara mereka terus menghubungi suaminya bagi bertanyakan khabar selepas menonton video tersebut.

“Kasihan dekat kawan-kawan saya yang rapat sebab mereka tahu saya tak pernah terlibat dalam perkara seperti teaser dan sebagainya. Mereka tahu saya seorang yang serius terutama bab kerja dan buat bersungguh. Sekali bila dah jadi serius, ramai sangat yang nak datang rumah dan nak panggil polis apa semua, saya rasa serba salah sangat. Saya macam alamak apa yang saya perlu buat ini. Saya terus hubungi mereka dan meminta maaf,” jelasnya.

Dedah Nabila lagi, tiada siapa yang mengetahui mengenai lakonan itu termasuklah anak dan ibu-bapanya yang turut cemas dengan keadaan tersebut.

Nabila ditemui Murai.my ketika di majlis pelancaran program terbaharu Astro Warna, The Masked Singer di De.Wan, The Linc, Kuala Lumpur pada petang Selasa. Selain Nabila, 8 orang selebriti lagi turut dipilih sebagai juri tetap terdiri daripada Datuk Aznil Hj Nawawi, Michael Ang, Raja Azura, Zizan Razak, Ella, Remy Ishak, Ramona Zam Zam dan Angah Raja Lawak.