Filem kontroversi “BABI”, oleh pengarah dan rapper Malaysia, Namewee telah dicalonkan untuk empat kategori dalam festival filem antarabangsa. Walaupun berjaya di peringkat antarabangsa, filem ini tidak mendapat sokongan yang sama di negara sendiri.

Filem yang telah disekat atau banned di Malaysia ini mendapat pencalonan dalam International Thai Film Festival 2020, Around International Film Festival di Berlin untuk Best Feature Film, dan Best Original Film Song di Taipei Golden Horse Film Festival 2020. Namewee juga telah menerima dua pencalonan di Festival Filem Open World Toronto untuk Pelakon dan Pengarah Terbaik.

Dalam posting di Facebook, Pengarah Namewee memberitahu filem BABI mendapat inspirasi dari peristiwa kehidupan sebenar yang berlaku pada tahun 2000 di sebuah bandar kecil di Malaysia.

Pengarah itu menambah bahawa laman berita dan media “dikompromikan oleh pihak berkuasa yang berkaitan”, sebab itulah ramai rakyat Malaysia tidak mengetahui mengenai kejadian itu.

Laporan Polis Terhadap Namawee

Sementara itu, laporan polis telah dibuat oleh Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan terhadap Namewee, berkenaan poster filem terbaharunya yang didakwa menyentuh sensitiviti kaum.

Laporan polis itu dibuat Ahli Unit Penerangan Pemuda Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan Mohammad Azwan Azmi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini pada pukul 11.07 pagi.

Mohammad Azwan berkata laporan polis dibuat kerana poster filem bertajuk ‘BABI’ itu mengandungi perkataan ‘Melayu Bodoh’, ‘India Keling’ dan ‘Cina Babi’.

“Penghinaan dan provokasi ini dilihat amat keterlaluan dan merupakan satu tindakan kurang ajar serta biadap, dibimbangi menimbulkan ketegangan antara kaum di Malaysia,” katanya  Dipetik dari Bernama.

Beliau berkata pihaknya turut meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menyekat kandungan berkaitan filem tersebut daripada diakses oleh rakyat Malaysia melalui Facebook, Youtube dan Instagram miliknya.