Kurang dari sebulan tahun 2020 yang penuh dengan kenangannya tersendiri bakal melabuhkan tirainya. Dalam industri hiburan, turut melakar pelbagai kisah sisipan para selebriti yang menjadi tumpuan peminat termasuklah khabar berita selebriti kesayangan mereka bakal menimang cahaya mata.
6 Selebriti Ini Bakal Menyambut Kehadiran ‘Orang Baru’
Ketika ini, tahun 2020 antara tahun paling ramai selebriti menimang cahaya mata. Ada diantara mereka yang pertama kali bergelar ibu bapa dan tidak kurang juga ada yang menambah ahli keluarga baru termasuklah buat 6 selebriti popular ini yang sedang sarat hamil. Berkongsi perasaan teruja mereka, dikalangan selebriti ini difahamkan hanya menunggu masa untuk melahirkan insan teristimewa. Berikut Murai.my tampilkan 6 selebriti yang akan menimang cahaya mata tidak lama lagi termasuklah ‘Baby 2021’. Semoga dipermudahkan buat semua!
Zahirah Macwilson
Ketika ini pasangan selebriti ideal, Zahirah Macwilson dan suami Aiman Hakim Redza berada di Perth, Australia. Berkongsi khabar gembira buat peminat beberapa bulan dahulu, Zahirah kini sedang sarat hamil dan usia kandungannya sudah memasuki usia 8 bulan.
Dengan penuh kesabaran dan turut teruja untuk bergelar ibu dan bapa buat pertama kali, difahamkan pasangan ini akan menyambut bayi sulung mereka di Australia dan peminat turut tidak menolak barangkali Zahirah akan menerima bayi tahun baru!
Mawar Rashid
Selain Zahirah, pelakon Mawar Rashid juga sedang sarat mengandung dan turut berkongsi usia kehamilan yang sama iaitu 8 bulan. Menerusi hantaran di laman Instagram, Mawar yang berkahwin dengan adik selebriti popular Datuk Fazley Yaakob, Raf Yaakob memuat naik foto terkininya yang meminta peminat untuk meneka adakah anak kedua nya bersama Raf seorang bayi lelaki mahupun perempuan.
Mawar dan Raf mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Rafael pada 13 Mac lepas. Mawar turut mempunyai dua orang anak tiri, Rayyan, 8 dan Raysaa, 4, hasil perkahwinan Raf bersama bekas isterinya terdahulu.
Hetty Sarlene
“It’s a boy (jantinanya lelaki)!”
Itulah kapsyen ringkas yang ditulis oleh pelako dan penyanyi Hetty Sarlene Oakes yang berkongsi khabar bakal menimang cahaya mata lelaki. Ketika ini, Hetty sedang sarat hamil dan dikhabarkan hanya menunggu masa untuk melahirkan cahaya mata sulungnya itu.
Sebelum ini, Hetty dan suaminya, Dani Aaqil mengakui sangat terkejut dengan berita kehamilan itu sehingga mereka sanggup melakukan pemeriksaan alat pengesan kehamilan sebanyak dua kali untuk mengesahkan kehamilan tersebut.
Hetty mendirikan rumah tangga dengan Dani atau nama asalnya, Daniel Oakes yang berasal dari London pada 23 Julai 2016.
Scha Al-Yahya
‘Kehilangan’ nya buat seketika sebenarnya membawa satu perkhabaran gembira buat ramai peminat apabila Scha Al-Yahya dan suami, Awal Ashaari mengumumkan mereka bakal menimang cahaya mata kedua pada tahun hadapan.
Selepas 6 tahun kelahiran penyeri keluarga mereka, Lara Alana difahamkan pasangan selebriti ini akan mengekalkan abjad ‘L’ dan ‘A’ sebagai pangkal nama anak kedua mereka kelak. Ketika artikel ini sedang ditulis, Scha atau nama sebenarnya Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Alyahya sedang hamil 7 bulan dan dijangka bersalin pada Februari 2021.
Ain Edruce
Di sebalik kelincahannya, siapa sangka pelakon dan pengacara Ain Edruce kini sedang berbadan dua. Berkongsi khabar gembira tersebut di laman YouTube miliknya, Ain turut tidak menyangka dirinya hamil sehinggalah pengacara Immortal Songs ini membuat ujian pengesahan kehamilan baru-baru ini. Ain yang sedang hamil 4 bulan dijangka akan menimang cahaya mata sulung sekitar April hadapan.
Dato Sri Siti Nurhaliza
Selepas ramai yang berteka-teki dan membuat spekulasi mengenai Dato Sri Siti Nurhaliza, penyanyi kesayangan ramai itu akhirnya mengesahkan dirinya kini sedang hamil cahaya mata kedua.
Menurut Siti, dia akui ramai yang sudah dapat meneka serta berteka-teki mengenai kehamilan keduanya dan sengaja merahsiakan kehamilannya kerana merasakan masih terlalu awal sehinggalah kandungannya itu kini berusia 4 bulan. Difahamkan, Siti akan turut melahirkan anak keduanya pada April 2021 dan berharap semua pihak mendoakan kehamilannya berada dalam keadaan baik.
“Benar saya sedang hamil empat bulan. Alhamdulillah, saya ingin berterima kasih kepada semua kerana ramai yang mendoakan kehamilan kedua ini. Doakan semoga kehamilan ini saya diberikan kekuatan serta melahirkan zuriat yang sihat dan sempurna.
“Soal jantina saya terima dengan hati terbuka, tapi lebih seronok kalau kehamilan kali ini dapat timang anak lelaki. Apapun doakan agar semuanya berjalan dengan baik,” katanya dalam pengumuman yang dibuat baru-baru ini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.