Penyanyi Zynakal akur dengan keputusan juri Separuh Akhir Muzik-Muzik 35 (SFMM35) apabila lagu duetnya bersama Yonnyboii,Sakit tidak tercalon sebagai 12 lagu yang mara ke AJL35.

Terkilan Dengan Kekecewaan Peminat

Menurut Zyn dia lebih berasa terkilan mengenai perasaan peminat yang ingin melihat mereka beraksi di pentas berprestij itu malah akui rakan gandingannya itu turut berasa hampa.

IKLAN

“Kekecewaan itu tidaklah datang semuanya dari saya, tetapi lebih kepada peminat yang ingin melihat lagu ini ke AJL. Bila mereka berasa kecewa, perasaan itu berbalik kepada saya. Untuk saya sendiri, berbalik kepada niat asal saya rakam lagu ini untuk orang ramai tahu saya sememangnya tengah sakit ketika itu”

“Saya tak ada niat pun untuk terfikir lagu ini sememangnya dicipta untuk pergi ke AJL. Kekecewaan itu lebih kepada terkilan, mungkin tiada rezeki

“Yonnyboii pun ada rasa sedikit down sebab kami tak boleh tipu diri sendiri. Tapi bila dah habis bersedih kami kena terus move on untuk berikan karya yang lebih baik lagi selepas ini,” katanya kepada Murai.my

Hormati Keputusan Juri 

Via Instagram Zynakal

Ketika ditanya perihal lagu Sakit dianggap hanya sekadar lagu popular oleh juri, bagi Zyn atau nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 22 dia menghormati keputusan dan pandangan para juri kerana beranggapan mereka sememangnya lebih berpengetahuan dalam bidang itu. Malah, jelas Zyn dia berlapang dada menerima ulasan tersebut dan tidak akan patah semangat selepas ini.

“Bagi saya, saya percaya kepada juri kerana mereka lebih berilmu”

“Juri hanya buat kerja sebagai juri. Keputusan dari mereka kita kenalah terima kalau tak layak kenapa mereka dipilih jadi juri. Apa-apa pun kita terima”

“Saya tidak akan patah semangat sebab saya pernah kena lagi teruk sebelum ini bila saya hilang mak dan hilang diri sendiri, saya dah banyak terima ucapan takziah, jadi selepas ini kita pandang ke hadapan sahaja ” katanya lagi

Zyn ditemui Murai.my di majlis pelancaran muzik video single terbaharunya, Perasaan yang berlangsung di Warunk Koffie, Shah Alam pada Khamis.

Masih lagi mengenai dirinya, Zyn berkata lagu ini mengambil sedikit masa untuk disiapkan berikutan pemergian ibu tercinta.

“Perancangan kita ini, Tuhan dah susun cantik. Kadang-kadang kita tak rancang tapi Dia yang mengatur segalanya. Sebenarnya lagu ini belum habis dirakam sebelum ini kerana kematian ibu saya. Jadi selepas itu baru saya dapat siapkannya” jelas Zyn

Bercakap mengenai genre pilihannya, Zyn akui menerima banyak permintaan daripada peminatnya yang menginginkan kelainan namun dia berkata buat ketika ini ramai yang meminati lagu-lagunya berunsur nasihat dan pengalaman dari segi tekanan kerana ada diantara mereka mengalami masalah yang sama.

IKLAN