Jual kek sahaja boleh jutawan? Itulah yang telah dibuktikan sendiri oleh Siti Noor Sabrina Soobri atau Sabrina selepas membuka perniagaan bakeri. Mungkin ramai yang terkejut di mana beliau asalnya merupakan seorang juru x-ray di sebuah kolej perubatan.
Kerana minat dalam pembuatan kek, dia mengambil keputusan memulakan perniagaan bakeri, Mamasab di bawah syarikat Mamasab International Sdn Bhd. Pada asalnya hanya suka-suka buat kek tapi siapa sangka jenama itu akhirnya memiliki cawangan pertama juga terletak di kawasan sama pada 2017.
Setakat ini, jenama milik bumiputera itu sudah memiliki 151 ribu ejen berdaftar dari seluruh negara. Selain pejabat urusan berpengkalan di PJ, lima kilang termasuk di ibu kota, Johor dan Kelantan menjadi mercu tanda kejayaan.
“Awalnya ia bermula dengan rangkaian 10 inovasi produk bakeri termasuk manisan seperti brownies, durian crepe dan combo bar. Tapi syukur kini, sudah lebih 50 produk dihasilkan termasuk kecantikan.
“Sebelum bertukar nama Mamasab pada 2018, nama asal perniagaan saya ialah Sabrina Bakery. Saya sendiri tak pernah terfikir mampu bergelar jutawan dan berkongsi rezeki itu dengan ramai orang.
“Saya pun bukan datang daripada keluarga yang bertunjangkan perniagaan. Hanya orang kampung biasa-biasa saja. Saya tak pernah terfikir meninggalkan kerjaya juru X-ray membuka laluan rezeki besar,” katanya yang ditemui di majlis Mamasab Grand Award 2021 bagi meraikan ejen dan pelancaran inisiatif Mini Hub oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun 7 Ogos lalu.
Kata Sabrina, nama perniagaannya terbit hasil hubungan baik dengan ejen.
“Pelanggan dan ejen suka memanggil saya mama. Malah nama Sabrina juga dipendekkan menjadi Sab. Maka tercetuslah nama Mamasab. Saya ini umpama mak kepada ejen khususnya. Mereka umpama anak saya.
“Panggilan dan nama itu yang buat hubungan terjalin jadi lebih akrab. Ia tidak semata-mata hubungan pengasas produk dan ejen. Sebarang masalah berbangkit membabitkan ejen, saya selesa bawa ia ke meja perbincangan.
“Macam kita selesaikan hubungan dalam kekeluargaan. Hubungan akrab itu juga antara intipati dan kekuatan. Ia sangat manis, saya sama-sama mahu ejen juga bina kejayaan dan bangkit dari apa saja yang menjatuhkan,” katanya.
Katanya lagi, pandemik COVID-19 yang menjelma dua tahun lalu turut membantutkan perniagaannya.
“Apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperketatkan, memang jualan merudum. Hingga ejen saya terganggu emosi dan berdepan isu kesihatan mental. Ketika itu, sebagai ibu, saya beri sokongan moral kepada ejen supaya lebih kreatif.
“Saya memberi dorongan di saat ejen berada di tahap paling bawah dalam hidup mereka,” kata wanita kelahiran Hulu Selangor itu.
Tambah ibu kepada empat cahaya mata ini lagi, sebagai pengasas produk dia perlu sentiasa kreatif dan inovatif.
“Lalu terhasillah inisiatif mewujudkan sistem mini hub untuk berniaga secara offline. Selama ini termasuk waktu PKP, perniagaan 100 peratus berpaksikan dalam talian.
“Tapi saya sedar ada ejen yang tidak pandai berniaga secara online. Ada yang segan nak buat lintas langsung atau bercakap depan kamera. Pendek kata skil mereka terbatas.
“Mini hub ini membantu ejen saya berniaga offline dan ia sebagai alternafif. Mini hub ini boleh dibuka di mana-mana tempat, rumah atau kedai bersesuaian dengan bermodalkan RM400 sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, Sabrina berkata selama ini perniagaannya berpaksikan pemasaran dengan ‘zero cost’.
Membanggakan, ejen jenama ini bukan calang-calang orang. Malah ada di antara mereka yang asalnya bekerja dalam bidang profesional seperti doktor, pegawai bank dan sebagainya.
“Jadi ejen pun boleh berjaya. Ramai sudah membuktikannya saat bersama perniagaan taklukan saya,” katanya.
Serentak pada majlis berlangsung, seramai 91 ejen menjadi penerima anugerah kerana berjaya meraih lebih RM1 juta jualan ke atas.
Boleh berkunjung ke cawangan berdekatan atau hubungi ejen berdaftar Mamasab. Ikuti Facebook (FB) Mamasab Bakery Malaysia, Instagram (@mamasab.bakeryofficial) dan layari www.mamasab.com.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.