Lumrah setiap kali datang haid, ada saja pantang-larang yang kita dengar. Contohnya, setiap kali haid wajib kena cuci tuala wanita, dikhuatiri ada ‘benda’ mengundang. Lagi satu pula tuala wanita yang dicuci boleh buat kulit wajah kita cantik. Serius, macam-macam kita dengar, walhal ada perkara yang macam tak masuk dek akal.
Hah ini… Miss Murai nak kongsi beberapa mitos tentang haid yang biasa kedengaran, menurut Dr. Azizah binti Rusly, Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi di Hospital Aurelius Nilai.
#1 “Wajib membasuh tuala wanita kerana darah najis dan akan ‘menjemput’ kedatangan jin.”
Darah haid tiada beza dengan darah lain dalam badan kita. Ia terdiri daripada darah, membran rahim, lapisan mukus dan bakteria. Sungguhpun ia kadangkala kelihatan bergumpal atau lebih gelap, kejadian sedemikian adalah normal.
Tuala pakai buang hendaklah dibungkus rapi dan dibuang selepas digunakan. Namun, sekiranya kamu menggunakan tuala boleh guna semula atau cawan haid, rendamkannya dengan air sejuk dan basuh dengan detergen biasa, soda penaik atau cuka
#2 “Tampon akan merosakkan selaput dara.”
Meskipun tampon boleh menyebabkan sedikit regangan atau koyakan pada selaput dara, namun ini juga boleh berlaku apabila kamu melakukan aktiviti lasak.
Pada mulanya, sebilangan wanita mungkin akan mengalami ketidakselesaan ketika memasukkan tampon. Namun, keadaan ini adalah sementara dan akan bertambah baik!
#3 “Elak makanan atau minuman sejuk kerana ia memburukkan lagi pendarahan.”
Hakikatnya, tiada kajian membukti atau menyangkal kaitan antara minuman/makanan sejuk dengan senggugut.
Sungguhpun demikian, sesetengah wanita lebih sensitif terhadap makanan atau minuman sejuk, yang mungkin akan mencetuskan atau memburukkan lagi senggugut. Jadi, kamu harus peka dengan badan sendiri.
#4 “Ada kata, meletakkan tuala yang telah dibasuh pada muka dapat memberikan kulit yang cantik.”
Tidak benar sama sekali, kerana sisa atau produk haid harus dibuang dengan cara yang betul. Dan cara memperoleh kulit bersih bergantung pada senis kulit seseorang. Amalkan diet yang sihat lagi seimbang untuk menjadi versi terbaik kamu.
Ad yang sangat mengarutkan. Ingat, tak semua mitos kamu perlu percaya bulat-bulat. Kalau rasa musykil, cuba tanya pada yang lebih berilmu.
Selamat beramal!
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.