Apa sahaja musibah, kesusahan atau sakit yang dihadapi dengan sabar, reda dan bertawakal, mempunyai ganjaran dan pahala yang besar di sisi Allah.
Begitu mulianya seseorang yang beriman, sehingga apa sahaja yang berkaitan dengan diri mereka akan bernilai di sisi Allah.
Satu tusukan duri sahaja pun, cukup untuk menyebabkan keampunan Allah dicurahkan kepadanya.
Malah, apa sahaja kesedihan atau kebimbangan yang hati mereka alami, sudah mampu menarik perhatian Allah lalu dikurniakan segala macam rahmat, maghfirah dan ganjaran dari sisi Allah.
Berbahas soal ini, selepas dua kali melakukan ujian electrocardiogram (ECG), cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan memaklumkan dirinya disahkan menghidap kanser limfoma.
Chef Wan berkongsi laporan biopsi yang diterima dan memaklumkan belum mempunyai sebarang simptom kanser berkenaan.
“Saya baru sahaja menjalani ujian ECG saya. Jam 3 petang doktor menyampaikan berita tentang keputusan biopsi saya.
“Mereka terpaksa menjalankan ujian sebanyak dua kali untuk memastikan keputusan itu. Saya sememangnya menghidap kanser limfoma,” katanya.
Dalam pada itu, Chef Wan memberitahu dia dimaklumkan oleh doktor bahawa dia mempunyai peluang untuk sembuh antara 70 hingga 80 peratus.
Justeru itu, dia perlu menjalani rawatan kimoterapi sebanyak 13 kitaran untuk jangka masa selama 13 minggu.
“Pada peringkat ini, peluang untuk sembuh biasanya adalah 70 hingga 80 peratus. Isnin ini, saya akan melakukan ujian sumsum tulang kerana kanser limfoma juga dikaitkan dengan sumsum tulang.
“Saya juga akan menjalani kimoterapi dan memulakan rawatan itu serta merta sebanyak 13 kitaran iaitu bermaksud selama 13 minggu,” tulisnya.
Katanya, dia tidak dapat membayangkan dirinya berdepan keguguran rambut akibat kesan sampingan yang bakal dialami.
Chef Wan berkata dia menerima takdir dengan hati terbuka biarpun anak perempuannya iaitu Serina tidak menahan sebak mendengar berita duka ini.
“Terima kasih atas semua doa dan ucapan anda. Tolong jangan risau kerana kita semua akan melalui ini bersama-sama… supaya kita boleh memberi inspirasi dan membantu orang lain di masa hadapan.
“Saya menerima semua ujian ini dengan hati terbuka dan keberanian. Inilah kehidupan… anda hanya perlu melaluinya satu demi satu dengan cara positif,” kongsinya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.