Saban hari kehidupan dilihat semakin mendesak ekoran masalah ekonomi, kehilangan pekerjaan dan harga barangan naik mendadak menyebabkan ada yang melakukan lebih daripada satu pekerjaan bagi menjamin kewangannya berada di tahap selesa.
Justeru, perancangan kewangan perlu dilakukan dengan bijaksana demi menjamin masa depan lebih cerah, maka jadikan tahun baharu sebagai permulaan penting dalam merangka hala tuju kewangan kita.
Demi masa depan, aktres popular, Anna Jobling mendapatkan khidmat penasihat kewangan bagi menguruskan pendapatan dan perbelanjaan yang diperoleh sekarang.
Anna atau nama sebenar, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman, 23, berkata langkah itu diambil bagi memastikan dirinya tidak boros, selain hasrat memiliki kediaman sendiri, tercapai.
“Saya ada menyimpan dan jaga wang elak boros apabila beli barang. Saya fikir penting untuk ada penasihat kewangan.
“Saya juga ada akauntan peribadi yang uruskan kewangan saya sejak dua atau tiga tahun lalu.
“Jadi, itu adalah perkara utama. Saya bukanlah jenis orang yang terlalu berbelanja barangan mewah. Ada juga, tetapi tidak terlalu ‘gila’.
“Sekarang saya simpan duit untuk beli rumah… Itu keutamaan saya,” katanya ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-23 di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Anna yang berdarah kacukan Melayu-Inggeris-Portugis sedang merancang menjalankan perniagaan yang tidak berfokuskan keuntungan semata-mata.
“Saya ada fikir untuk buat bisnes. Namun, buat masa ini, saya mahu fokus kepada lakonan. Sebelum ini, saya bercuti dua hingga tiga bulan, jadi, sekarang adalah masa untuk saya kembali bekerja.
“Soal bisnes, saya mahu buat apa yang orang lain tidak buat. Saya juga tidak mahu buka perniagaan yang saya tidak minat.
“Kalau boleh, saya hendak buat bisnes ikhlas, bukan setakat keluarkan produk, letak muka dan nama,” katanya.
Dalam perkembangan lain, penerima trofi Aktres TV Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-35 itu bakal muncul dalam muzik video penyanyi ternama dari Indonesia.
“Saya baru selesai penggambaran muzik video bersama penyanyi Indonesia yang namanya sangat besar. Klip video itu akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.