Jangan ingat rumah kecil atau besar penentu kepada kebahagiaan pada penghuni rumahnya. Biarlah rumah kecil asalkan penghuninya bahagia.
Oleh itu menjaga silaturahim adalah perihal yang sangat dituntut dalam Islam untuk mendapat rahmah Allah SWT serta menyuburkan hubungan sesama manusia.
Allah menjanjikan ganjaran besar untuk orang yang sentiasa menjaga silaturahim. Menyantuni dan menjaga silaturahim akan dipanjangkan umur dan beroleh keberkatan rezeki.
Pepatah Melayu ada menyebut bagai aur dengan tebing yang kerap digunakan untuk mencitrakan hubungan persaudaraan yang erat dan akrab.
Meski pun demikian, dilihat pada akhir zaman ini, nilai kasih sayang sesama adik-beradik semakin pudar dan suram apabila faktor materialisme mendominasi.
Berbahas soal ini, baru-baru ini penyanyi Shila Amzah menyifatkan memiliki dan menetap di sebuah kediaman yang besar atau mewah tidak menjanjikan sebarang kebahagiaan untuk sesebuah keluarga.
Menurut Shila atau nama penuhnya Nurshahila Amir Amzah, 33, kediaman bersaiz sederhana menjadi pilihan kerana menganggap rumah yang besar antara faktor boleh memisahkan hubungan sesama ahli keluarga.
“Saya lagi memilih untuk menetap di rumah bersaiz lebih kecil sebab kediaman yang besar susah untuk dijaga.
“Kemudian apabila setiap ahli keluarga memiliki ada ruang sendiri, hubungan pun akan jadi renggang.
“Jadi, lebih baiklah rumah bersaiz sederhana sebab yang penting ada hubungan keluarga lebih erat dan tidak berpaksikan perkara dalam media sosial,” katanya dalam TikTok.
Perkara tersebut disuarakan pelantun lagu Masih Aku Cinta itu dalam sebuah video memaparkan ‘house tour’ rumah banglonya yang terletak di Hulu Langat.
Dalam masa sama, dia juga memberitahu hidupnya kini tidak lagi berlandaskan kehendak dan keperluan media sosial seperti yang pernah dilakukan sebelum ini.
Malah baginya, rumah yang besar juga tidak menjamin kegembiraan seseorang itu kekal buat selama-lamanya.
“Saya sudah berhenti daripada melakukan sebarang perkara yang berkiblatkan media sosial sebab tidak mampu untuk puaskan hati mana-mana pihak.
“Rumah yang besar bukan jaminan untuk buat kita bahagia dan gembira atau kekal bersama selama-lamanya.
“Dalam hidup tiada istilah semuanya bersifat selamanya. Sebagai manusia yang baik, kita perlu ingat bahawa semua perkara hanyalah bersifat sementara dan sekadar pinjaman,” ujarnya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.