Pada Januari 2024 yang lalu, Samsung membuka tempoh pra-pesanan untuk siri Samsung Galaxy S24 di Malaysia iaitu Galaxy S24, S24+ dan S24 Ultra. Apa yang kami boleh kami katakan, Samsung nampaknya tidak banyak membuat perbezaan dari segi reka bentuk, masih menampilkan tiga kamera yang disusun secara menegak.
Tapi tidak masuk akal pula jika langsung tiada perbezaan!
Semestinya banyak penambahbaikan telah dibuat berbanding dengan siri Galaxy S23. Bukan sekadar menggantikan generasi cipset lama dengan yang baharu, tetapi turut mempersembahkan ciri berasaskan AI inovatif yang membuatkan peminat teruja.
Di antara semua siri, saya rasa Galaxy S24+ adalah yang paling berbaloi untuk dimiliki. Ini kerana varian Ultra lebih berat dan sedikit besar, manakala versi biasa menawarkan skrin yang terlalu kecil iaitu 6.2 inci.
Setelah 2 minggu menguji sendiri Galaxy S24+, bagi saya banyak ciri dan spesifikasi Galaxy S24+ hampir menyamai Galaxy S24 Ultra. Jom lihat apa kelebihannya
Reka Bentuk Ergonomik dan Tahan Lasak
MURAI MY mendapati bezel pada Galaxy S24+ kini lebih nipis berbanding pendahulunya, Galaxy S23+. Bezel nipis ini telah membuatkan skrin yang lebih besar sedikit daripada sebelumnya. Dimensi rangka, Galaxy S24+ hampir sama dengan Galaxy S23+. Selain daripada perbezaan yang ketara ini, satu-satunya perkara yang mungkin kelihatan dan terasa berbeza ialah Galaxy S24+ lebih tinggi daripada Galaxy S23+.
Selain itu, pengguna juga dapat merasakan bahagian tepi rangka badan lebih rata berbanding sebelum ini. Ini menjadikan pengalaman memegang telefon bimbit lebih selesa.
Untuk pilihan warna Galaxy S24+ kini hadir dalam tujuh versi berbeza berbanding pendahulunya yang hanya mempunyai empat warna. Walaupun Galaxy S23+ hadir dalam varian Krim, Lavender, Hijau dan Phantom Black, Galaxy S24+ menyediakan Cobalt Violet, Amber Yellow, Marble Grey dan Onyx Black. Manakala tiga lagi varian warna khusus untuk pembelian dalam talian menerusi laman web rasmi Samsung iaitu Jade Green, Sapphire Blue dan Sandstone Orange.
Dari segi ketahanan badan, bingkai telefon bimbit dilengkapi dengan bahan perisai aluminium yang memberikan ketahanan yang berlebihan terhadap calar dan kerosakan akibat hentakan. Samsung mendakwa bahawa ketahanan perisai aluminium pada telefon bimbit ini telah meningkat berbanding sebelum ini.
Galaxy S24+ juga menawarkan skrin yang lebih lebar sedikit berbanding sebelumnya, iaitu 6.7 inci dan bukannya 6.6 inci. Selain itu, resolusi Galaxy S24+ kini ialah QHD+ 1330 x 3120 piksel, peningkatan daripada sebelumnya hanya 1080 x 2340 piksel.
Samsung juga memberikan peningkatan dalam kecerahan daripada sebelum ini hanya 1,750 nits kepada sekarang 2,600 nits. Kemudian, menaik taraf panel kepada Dynamic LTPO AMOLED 2X bermakna Galaxy S24+ boleh menyesuaikan kadar penyegaran dinamik antara 1-120 Hz. Ini berbeza dengan Galaxy S23+ yang hanya menawarkan 48 Hz sebagai kadar penyegaran terendahnya.
Exynos 2400 yang berkuasa untuk Permainan Tahap Tinggi
Nampaknya siri Galaxy S24 untuk versi biasa dan Plus terbahagi kepada versi Snapdragon 8 Gen 3 dan Exynos 2400. Pengecualian ialah Galaxy S24 Ultra yang hanya tersedia dalam versi Snapdragon.
Untuk pasaran Malaysia Samsung Galaxy S24 dan Galaxy S24+ menggunakan cip Exynos 2400. Exynos 2400 adalah pengganti kepada Exynos 2200, cip yang digunakan dalam siri Samsung Galaxy S22 khusus untuk pasaran Eropah.
Exynos 2400 sendiri dikatakan akan membawakan beberapa penambahbaikan daripada siri sebelumnya, seperti keupayaan CPU dan AI (kecerdasan buatan).
Dari segi prestasi CPU, ia mengalami peningkatan sebanyak 1.7 kali ganda berbanding Exynos 2200 yang digunakan oleh siri Galaxy S22. Kemudian, peningkatan AI adalah lebih drastik iaitu sehingga 14.7 kali ganda.
Exynos 2400 juga mempunyai keupayaan AI yang unik, salah satunya adalah dapat menukar gesaan dalam bentuk teks kepada imej (penjanaan AI teks-ke-imej).
Galaxy AI
Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, Galaxy S24 Plus dilengkapi dengan ciri AI. Samsung menamakannya sebagai Galaxy AI. Ciri ini tidak tersedia pada Siri Galaxy S sebelumnya.
Pertama, ialah Terjemahan Langsung. Ciri ini juga sesuai untuk wartawan atau pelancong yang melancong ke luar negara. Apabila bercakap dengan seseorang yang menggunakan bahasa asing, AI akan segera menterjemahkan perbualan ke dalam bahasa yang boleh anda fahami.
AI juga akan melakukan perkara yang sama apabila anda bercakap. Ciri ini juga boleh dijalankan di luar talian. Apabila dijalankan di luar talian, fail audio bahasa asing akan ditukar oleh AI kepada teks yang ditranskripsi.
Dalam membuat transkrip, AI juga boleh mengenali bilangan orang yang bercakap dalam temu bual. Hasil transkripsi juga boleh diterjemahkan ke dalam bahasa lain.
Kedua, iaitu Chat Assist. Ciri ini membantu memilih ayat yang sesuai mengikut orang yang anda bercakap. Contohnya, apabila anda menulis “Apa khabar?”, AI akan mengesyorkan beberapa variasinya kepada rakan (santai) atau bos di tempat kerja (sopan).
AI juga boleh menterjemah ayat dalam chat, kedua-dua daripada anda dan orang yang anda bercakap.
Ketiga, iaitu Notes Assist. Apabila anda mencatat nota dalam aplikasi nota, nota itu mungkin terlalu panjang. AI akan cuba meringkaskannya tanpa mengubah intipati nota itu. Ringkasan juga boleh diterjemahkan ke dalam bahasa lain.
Kamera
Ciri Space Zoom 30x pada kamera belakang membolehkan pengguna Galaxy S24 Plus mampu merakam momen dari jauh, manakala mod Auto-HDR dan panorama menambah dimensi dan keindahan pada setiap foto yang diambil.
Samsung Galaxy S24 Plus dilihat mampu merakam video berkualiti tinggi, termasuk 8K@24fps UHD, 4K@30fps UHD, serta 1080p@30fps FHD dan format HD 720p@960fps untuk hasil yang menakjubkan.
Kamera hadapan dengan resolusi 32 MP f/2.2 dan reka bentuk Punch Hole pada skrin memberikan keupayaan untuk mengambil imej swafoto yang jelas dan semula jadi.
Keupayaan untuk merakam video 4K@30fps UHD dan 1080p@30fps FHD pada kamera hadapan Galaxy S24 Plus menjamin pengguna mendapat kualiti video maksimum apabila berkomunikasi atau berkongsi detik melalui media sosial.
Pengecasan Cepat
Samsung Galaxy S24 Plus mempunyai bateri kapasiti sebesar 4900 mAh, menggunakan teknologi Bateri Li-ion untuk menyokong pengalaman pengguna yang tahan lama. Dengan ciri pengecasan pantas 45W, pengguna boleh mengecas bateri Galaxy S24 Plus dengan pantas, meminimumkan masa menunggu dan memastikan ketersediaan kuasa sepanjang hari.
Kelebihan lain, telefon pintar ini turut dilengkapi pengecasan tanpa wayar 25W, membolehkan pengguna mengecas secara praktikal tanpa perlu menggunakan kabel. Ciri pengecasan terbalik 10W adalah nilai tambah, membolehkan Galaxy S24 Plus berfungsi sebagai sumber kuasa tambahan untuk peranti lain yang menyokong pengecasan tanpa wayar.
Harga
Secara ringkas, harga untuk semua model Galaxy S24 Plus di Malaysia lebih tinggi berbanding siri Galaxy S23 Plus ketika dilancarkan tahun lepas. Bagaimanapun, Samsung tidak lagi menyediakan storan 128GB kali ini, menjadikan harga terendah jauh lebih mahal.
Berikut adalah harga siri Galaxy S24 Plus di Malaysia:
-
- Galaxy S24+ (RAM 12GB + Storan 256GB) – RM4,899
- Galaxy S24+ (RAM 12GB + Storan 512GB) – RM5,399
Jika berminat dengan tawaran Samsung Galaxy S24 terbaru ini, segera dapatkan di laman web Samsung Malaysia.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.