Baru-baru ini, penyanyi terkenal Ernie Zakri mengundang perhatian ramai dengan ciapannya di platform X, di mana beliau meluahkan kekecewaan terhadap sesuatu perkara yang telah lama dipendam. Namun, Ernie memilih untuk mengunci mulut dan tidak memperincikan punca sebenar kekecewaannya itu.
Ernie, atau nama sebenarnya Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, menjelaskan bahawa pendekatan ini diambil untuk mengelakkan salah faham berpanjangan dalam kalangan khalayak.
“Masa tu saya hanya ‘tweet’, meluahkan rasa terbuku yang dah lama saya simpan tetapi biarlah saya sahaja yang tahu. Lambat-laun orang tahu dan mungkin juga datang dari mulut saya sendiri,” ujar pelantun lagu Masing-Masing itu.
Tambahnya lagi, meskipun hampir mendedahkan butiran lanjut, Ernie memilih untuk menarik balik kata-kata dan terus melangkah ke hadapan.
“Saya tahu sudah mengundang pertanyaan ramai. Kalau dedahkan orang akan bertanya, jadi saya biarkan saja,” katanya.
Dalam kenyataan tersebut, Ernie juga menegaskan bahawa luahan tersebut tiada langsung kaitan dengan bekas syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment, seperti didakwa ramai.
“Kalau cakap berkenaan lagu, syarikat Rocketfuel Entertainment sebenarnya sedang menyelesaikan semua isu berkaitan lagu-lagu saya sebab bertukar pihak pengurusan. Jadi perkara itu memang tiada dan salahlah tanggapan peminat itu,” ujarnya.
Ernie, pemenang Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu ke-35 (AJL35), berterus-terang dengan ahli kelab peminatnya, menolak dakwaan sengaja berbuat demikian sebagai gimik untuk melancarkan lagu baharu dalam masa terdekat.
“Sebenarnya, kisah ini sudah berlalu dua hingga tiga minggu dan saya tak mahu fikir lagi. Saya pun tiada komen lain, itu hanya perasaan saya ketika itu. Ada juga orang cakap gimik hendak keluar lagu, tapi sebenarnya tidak. Masa itu saya hanya menjadi wanita biasa yang meluahkan di media sosial,” jelasnya.
Ciapan Ernie yang tular sebelum ini menyatakan, “Ini sangat mengecewakan. Berita ini sangat mengecewakan. Ini sangat tidak profesional. Saya dah lama tutup mulut. Terlalu lama,” tanpa memperincikan sebab sebenar kekecewaan tersebut. Spekulasi dalam kalangan peminat mendakwa ia berkaitan dengan isu kerja, namun Ernie memilih untuk tidak memberi komen lanjut.
Pendekatan berdiam diri yang diambil oleh Ernie ini memperlihatkan kematangan beliau dalam mengendalikan isu peribadi dan profesional.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.