Pelakon terkenal Izara Aishah, atau nama sebenarnya Izara Aishah Hisham, 31, terpalit kontroversi apabila didakwa menghina suku kaum Orang Asli selepas menggunakan perkataan ‘jakun’ dalam ciapannya di platform X.
Tuduhan tersebut muncul apabila seorang individu mendakwa Izara telah mengutuk suku kaum Orang Asli dengan menggunakan terma yang dianggap sensitif itu.
Izara, bagaimanapun, tampil mempertahankan dirinya dan menjelaskan bahawa penggunaan perkataan tersebut bukan bertujuan untuk menghina mana-mana pihak, sebaliknya ia digunakan sebagai ekspresi untuk menggambarkan rasa hairan atau pelik terhadap sesuatu perkara.
Menyedari reaksi negatif yang diterima, Izara menyatakan kesediaannya untuk menghentikan penggunaan perkataan itu sekiranya ia dianggap tidak lagi sesuai.
“Ayat digunakan tiada kena mengena (kutuk Orang Asli). Perkataan tersebut merupakan ekspresi. Beritahu saya sekiranya tidak boleh diguna pakai lagi kerana selama ini masih ramai lagi orang yang menggunakan perkataan tersebut untuk ekspresi dalam memberi pandangan,” katanya menerusi satu ciapan baru-baru ini.
Dalam ciapan yang sama, Izara turut berkongsi pandangan bahawa perkataan ‘jakun’ sering digunakan di beberapa tempat sebagai ungkapan biasa tanpa merujuk kepada mana-mana suku kaum tertentu.
Misalnya, seorang pengguna media sosial dari Johor menjelaskan bahawa perkataan itu sering digunakan dalam perbualan harian tanpa menimbulkan sebarang isu.
“Jakun kalau di Pekan, Pahang kami guna apabila kita tidak pernah nampak atau pertama kali melihat sesuatu benda,” jelas seorang netizen yang menyokong Izara.
Selain itu, ibu kepada dua orang anak itu turut memuat naik tangkap layar dari Kamus Dewan Bahasa, yang mendefinisikan perkataan ‘jakun’ sebagai sesuatu yang bermaksud hairan atau pelik, sekali gus memperkukuhkan hujahnya bahawa perkataan itu digunakan sebagai ekspresi.
Kontroversi ini bermula apabila Izara membuat ciapan berkaitan isu kedatangan warga Palestin ke Malaysia, yang menurutnya hanya bertujuan untuk mendapatkan rawatan.
Izara juga dituduh bersikap rasis terhadap warga Rohingya selepas meminta agar tidak membuat perbandingan antara warga Rohingya dan Palestin.
Dalam perbualan tersebut, penggunaan perkataan ‘jakun’ oleh Izara telah mencetuskan kecaman hebat daripada netizen yang menuduhnya tidak sensitif.
Walaupun dikecam hebat, Izara tetap berpegang kepada pendiriannya dan menyatakan bahawa pandangan orang lain tidak akan mempengaruhi cara dia berkomunikasi, selagi mana ia tidak melanggar norma masyarakat yang diterima umum.
Beliau juga menegaskan bahawa niatnya bukanlah untuk menyakiti sesiapa, dan sekiranya ada pihak yang tersinggung, dia bersedia untuk memperbaiki keadaan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.