Dalam sebuah temu bual lama dari tahun 90-an bersama Farah Khan, perkahwinan Shah Rukh Khan (SRK) dan Gauri Khan dikatakan salah satu perkahwinan yang bahagia dan berjaya. Ini kerana SRK dikenali sebagai suami yang sangat pemurah dan sering memberi hadiah kepada isterinya.
Mendengar pernyataan Farah itu, SRK memberi reaksi dan pendedahan kelakar yang membuatkan ramai terkejut. Kongsi SRK, Gauri sebagai seorang isteri yang baik, sentiasa menerima hadiahnya tetapi tak lama selepas itu dia akan menukarnya.
“Setiap kali saya hadiahkan sesuatu padanya, dia akan terima dengan gembira. Tetapi 99.9% daripada hadiah yang diterimanya itu, dia akan kembalikan dan beli sesuatu yang lain dan dia suka.”
Pada masa yang sama, SRK juga mengimbas semula kejadian yang berlaku di London ketika dia sedang jalani rawatan untuk tulang belakangnya dan perlu tinggal selama 2 bulan untuk pemulihannya.
Mengetahui dirinya bakal tinggal lebih lama daripada dirancang, SRK membeli baju t-shirt baru tetapi saiznya agak besar dan merancang untuk kembalikan ke kedai bagi menukar saiz.
Tambah SRK lagi, dia kemudiannya meminta bantuan Gauri untuk pulangkan baju tersebut dan membeli baju t-shirt kapas. Tetapi apabila Gauri pergi kembalikan, dia berkata bahawa kedai itu enggan mengambilnya semula.
Kemudian apabila dua rakan SRK datang melawat, mereka memberitahu Gauri telah menukar bajunya itu dengan sebuah beg tangan.
“Kawan saya datang melawat dan berkata mereka tidak boleh berbohong. Mereka memberitahu saya, Gauri tidak membeli apa-apa (baju t-shirt) untuk saya. Gauri memberitahu saya tinggal di hospital dan tidak memerlukan baju baru, jadi dia menukar baju tersebut dan membeli beg tangan baru.”
Mengimbas kembali kejadian tersebut, SRK menyatakan ia sangat kelakar dan dia sudah ‘hadam’ dengan perilaku isterinya itu.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.