Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) sekali lagi membuktikan keunggulan muzik tanah air apabila dua bintang naungan label terkenal, Rocketfuel Entertainment, Hael Husaini dan Nadeera, tampil dengan persembahan yang bukan sahaja memukau tetapi juga menyentuh hati seluruh rakyat Malaysia.
Persiapan Rapi Menjelang AJL39
Sebelum AJL39, Hael menerima satu kejutan istimewa yang merupakan sebuah mikrofon bertatahkan kristal Swarovski dalam rona hijau, sepadan dengan busana oleh pereka terkenal Rizman Ruzaini yang dikenakan dan tema persembahannya. Hadiah istimewa ini datangnya daripada seseorang yang sangat bermakna dalam hidupnya, menjadikan momen tersebut lebih beremosi dan peribadi.
Bagi Nadeera pula, perjalanan ke AJL39 penuh dengan emosi mendalam. Sewaktu sesi latihan, air mata kegembiraan mengalir apabila dia mendengar lagunya berkumandang di Axiata Arena buat pertama kali. Momen tersebut merupakan detik yang paling dinanti-nantikan dalam hidupnya setelah bertahun-tahun mengejar impian untuk berdiri di pentas berprestij ini.
Persembahan Penuh Drama & Kejutan Di Pentas AJL39
Setiap persembahan di AJL39 bukan sekadar nyanyian, tetapi sebuah penceritaan yang mampu menggugah emosi. Nadeera yang kelihatan anggun dalam persalinan putih oleh label eksklusif, Haute Couture by Rizalman Ibrahim sepatutnya melaksanakan gimik ‘flying veil’ yang dirancang untuk menjadi elemen kejutan dalam persembahannya.
Namun, atas sebab-sebab teknikal, pihak Rocketfuel Entertainment bersama Huge Entertainment House terpaksa membuat perubahan di saat akhir dan menggantikannya dengan ‘The Fallen Veil’ dari atas.
Walaupun begitu, Nadeera tetap menguasai pentas dengan penuh yakin dan berjaya meraih ‘standing ovation’ dari penonton. Sorakan gemuruh yang diterima membuktikan kehebatan vokalnya dan penghayatan menerusi lagu “Bukan Lagi Kita“.
Sementara itu, Hael Husaini turut mencuri perhatian apabila mengalami insiden kecil di atas pentas. Beliau terjatuh sewaktu menyanyikan lagu “Diam“, namun dengan profesionalisme yang tinggi,
Hael bangkit dan meneruskan persembahan dengan penuh semangat. “The show must go on,” katanya, membuktikan dedikasi dan semangatnya sebagai seorang penghibur sejati.
Namun, momen yang paling menyentuh perasaan seluruh Malaysia adalah apabila Hael dilihat mengalirkan air mata ketika menyaksikan Nadeera menyampaikan “Bukan Lagi Kita”.
Video reaksinya menjadi tular di media sosial, mencetuskan perbualan hangat dalam kalangan peminat muzik yang terharu melihat hubungan erat dan sokongan antara dua bintang ini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.