Satu video yang dimuat naik ke akaun TikTok @aatvmedia.officials pada 6 Jun lalu telah mencetuskan kemarahan netizen apabila seorang wanita penerima bantuan zakat MAIWP didapati mengeluh secara terbuka mengenai jenis lampin pakai buang (pampers) yang diterima, selain mempersoalkan kecekapan sistem bantuan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Dalam video tersebut, wanita berkenaan mendakwa sepatutnya menerima pampers jenis “pants” untuk anaknya, namun telah diberikan pampers jenis “tape” di bawah Skim Bantuan Perubatan MAIWP. Beliau juga menzahirkan ketidakpuasan hati secara terbuka yang menimbulkan rasa tidak senang dalam kalangan warganet.
@aatvmedia.officials Asnaf Bongkar Kelemahan Sistem kuno MAIWP & Baitulmal Luah rasa kecewa Bantuan MAIWP Lambat dan Salah Hantar….. KUALA LUMPUR, 6 Jun 2025 – Seorang penerima bantuan asnaf, Puan Putri, meluahkan rasa kecewa dan keceburuan terhadap kelewatan serta kesilapan dalam agihan bantuan barangan keperluan seperti lampin pakai buang dan susu anak-anaknya. Menurut Puan Putri, permohonan bantuan pampers jenis seluar saiz XL sering kali ditukar kepada jenis “tape”, selain proses kelulusan bantuan yang sering tertangguh hingga dua hingga tiga bulan. “Dah bertahun-tahun jadi isu ini. Sistem masih manual, lambat, dan tak telus,” katanya dalam kenyataan kepada media. Beliau turut menyuarakan bahawa ramai golongan asnaf lain yang tidak berani bersuara, bimbang permohonan mereka akan dibekukan atau ditolak. Keadaan ini menyebabkan sesetengah keluarga hidup dalam tekanan berpanjangan kerana bantuan asas tidak sampai mengikut jadual. Puan Putri turut mencadangkan agar sistem bantuan MAIWP ditambah baik menggunakan sistem digital dan dalam talian sepenuhnya bagi mengelakkan kelewatan dan kesilapan berulang. Isu ini turut mendapat perhatian netizen selepas dakwaan wujudnya unsur “kartel” dalam pengagihan barang bantuan turut dibangkitkan oleh individu lain yang hadir dalam sesi tersebut. “Saya bukan mahu menjatuhkan sesiapa, tapi saya hanya mahu keadilan untuk golongan yang benar-benar memerlukan. Kami tak minta banyak, cuma mahu sistem yang adil dan cepat,” ujar beliau. #SuaraAsnaf #BantuanAsas #MAIWP #TelusDanBerhemah #KeadilanUntukAsnaf #SistemDigitalSekarang #AsnafPerluDibela #PampersAnakSaya #IsuBantuanLambat
Netizen Kecam – “Sistem MAIWP Memang Lemah, Cuba Pakai Sistem Perancang Pula”
Rata-rata netizen mengecam tindakan wanita tersebut yang dikatakan tidak bersyukur walaupun telah menerima pelbagai bentuk bantuan sejak tahun 2018. Difahamkan, beliau kini mempunyai 7 orang anak, termasuk 2 orang anak OKU dan masih bergantung sepenuhnya kepada bantuan zakat.
“Bantuan sejak 2018, anak 7, dua OKU. Masih sempat komen tak puas hati? Patutnya bersyukur”
“Kalau dah tahu hidup susah, kenapa tak rancang keluarga? Zakat untuk bantu, bukan dituntut macam hak milik peribadi”
“Order lain sampai lain? Kau ingat ni barang shoppe ke nak complaint macam beli guna duit sendiri”
“Memang tak nafi sistem dorang perlu ditambah baik tapi mesti ada sebab buat gitu. Kalau semua hujung jari susah jugak sekarang zaman canggih senang menipu”
“Apa yang nak disampaikan tu boleh tapi kena ada tone dan penggunaan ayat yang betul. Ni cakap macam dia yang bayar zakat”
“Kerja kak, ada suami pun sama-sama kerja. Kalau sakit banyak lagi benda boleh buat, jangan harap bantuan zakat je, ramai yang lagi susah”
“Ya Allah, aku bayar zakat nak bantu orang tapi jenis gini tak bersyukur rasa sakit hati yaa”
MAIWP Tampil Beri Penjelasan
Susulan video tular tersebut, MAIWP tampil dengan kenyataan rasmi pada 8 Jun, menjelaskan bahawa mereka sentiasa cakna terhadap keperluan asnaf dan bersedia membuat penilaian semula sekiranya terdapat permintaan perubahan spesifikasi bantuan yang munasabah.
Menurut MAIWP, pampers jenis “tape” yang dibekalkan adalah berdasarkan permohonan dan pengesahan keperluan oleh pakar perubatan bertauliah. Malah, sepanjang tahun 2024, MAIWP telah menyalurkan RM47.69 juta kepada 6,398 asnaf di Wilayah Persekutuan di bawah skim Bantuan Perubatan. Untuk tahun 2025 pula, sebanyak RM60.1 juta telah diperuntukkan bagi skim ini.
Tiada Kartel Dalam Pembekalan – MAIWP Nafi Tuduhan
Dalam kenyataan yang sama, MAIWP turut menafikan sekeras-kerasnya dakwaan kewujudan ‘kartel’ dalam proses pembekalan barangan bantuan seperti yang diperkatakan. Semua pemberian barangan dan peralatan perlu melalui proses tender terbuka yang telus dan mengikut zon perolehan yang ditetapkan.
Aduan Terbuka Dipandang Serius
MAIWP juga menegaskan mereka sentiasa terbuka menerima aduan dan pandangan masyarakat bagi menambah baik sistem pemantauan dan penyaluran bantuan. Namun begitu, mereka menyeru agar semua pihak menjaga etika dalam menyuarakan ketidakpuasan hati agar tidak menjejaskan nama baik institusi zakat dan amanah pembayar zakat.
Isu ini memberi gambaran jelas bahawa peranan sebagai penerima zakat bukan hanya menerima bantuan, tetapi juga mengamalkan sikap syukur dan memahami bahawa bantuan disalur berdasarkan keperluan dan kemampuan institusi. Dalam masa yang sama, penyedia bantuan seperti MAIWP juga harus telus, terbuka dan responsif terhadap aduan yang berasas.
Semoga isu ini menjadi pengajaran bersama dan tidak mengaburi niat murni zakat yang disalurkan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.