Jika kamu tanya filem negara manakah yang paling seram, jawapan Murai sudah semestinya filem seram Indonesia. Nak tahu kenapa?
Berbeza dengan filem seram negara lain, filem seram Indonesia mempunyai keunikannya tersendiri. Biasanya filem seram mereka sering memaparkan kisah mengenai rakyat, mitos dan juga lagenda yang telah wujud sejak sekian lama.
Dan dalam entri kali ini, Murai nak cadangkan kepada peminat filem seram untuk tonton lima filem Indonesia yang paling seram serta mempunyai rating yang tinggi. Bermula daripada…
-
Qodrat
Ustaz Qodrat iaitu pakar ruqyah yang disegani, kini diselubungi kegelapan. Kegagalannya dalam menyelamatkan anak sendiri daripada belenggu syaitan Assuala telah menghancurkan akidahnya. Kembali ke sekolah pondok, beliau berharap dapat menemui semula cahaya iman.

Sekolah pondok yang dahulunya menjadi kubu rohani kini dipenuhi dengan kegelapan. Peristiwa pelik terus berlaku dan Qodrat menyedari bahawa kuasa jahat yang jauh lebih hebat daripada apa yang pernah dia bayangkan sedang mengintai.
-
Lembayung
Terperangkap dalam bayang kematian, Pica dan Arum iaitu 2 pelajar kejururawatan yang memulakan latihan di Klinik Lembayung yang misteri. Kehadiran pesakit misteri menambahkan lagi ketegangan.

Bisikan masa lalu mula kedengaran, dan satu demi satu nyawa terkorban. Siapakah “dia” di sebalik keganasan yang menyelubungi klinik itu?
-
Kuasa Gelap
Bertemakan eksorsisme, cerita ini mengisahkan Kayla iaitu seorang remaja yang penuh dengan luka batin yang berazam untuk memanggil roh bapanya melalui ritual jelangkung.

Namun, yang muncul adalah makhluk jahat dari dunia lain. Terperangkap dalam lingkaran keganasan, Kayla dan rakan-rakannya perlu menghadapi kuasa gelap yang mengancam nyawa mereka. Paderi Thomas yang pada mulanya berat hati terpaksa terlibat dalam perjuangan menentang syaitan.
-
Perempuan Tanah Jahanam
Seorang wanita bernama Maya tiba-tiba menjadi pewaris harta karun misteri di kampung halamannya yang sunyi. Bersama rakan baiknya, Dini, dia bertolak ke kampung terpencil itu dan secara tidak langsung diseret ke dalam misteri gelap.

Kubur kanak-kanak, jeritan malam yang menakutkan dan kelahiran dalam kegelapan adalah permulaan pengembaraan mendebarkan yang mendedahkan rahsia gelap kampung.
-
Do You See What I See?
Seorang gadis bernama Mawar yang mendambakan kehangatan kasih sayang, mencari cahaya di tengah kesunyian. Namun, kehadiran seorang individu misteri bernama Restu telah membawa kegelapan kepada Mawar.

Kehidupan Mawar yang dahulunya tenang damai, kini bertukar menjadi mimpi ngeri apabila satu per satu kejadian aneh mula mengganggunya. Mawar bersama rakan baiknya, Vey, cuba membongkar rahsia Restu dan kebenaran yang menakutkan.
Jangan lupa tonton dan kongsikan apakah rating kamu mengenai filem seram di atas.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.