Seorang usahawan yang dikenali sebagai Ojen mencuri perhatian ramai apabila berkongsi momen penuh emosi di laman Instagram beliau. Dalam satu hantaran video berdurasi ringkas, Ojen dilihat sedang duduk di dalam kereta sambil menahan sebak namun akhirnya menitiskan air mata apabila staf-stafnya tetap datang menjenguk walaupun sudah diarahkan untuk terus makan tanpa menemuinya.
“Ujian kena scammed RM250k tak habis lagi, ribut pulak malam semalam last day di Tawau sehingga merosakkan semua 10 industrial oven dan harini staff staff pulak accident.” Luah Ojen di kapsyen .
Video menyentuh hati ini telah dimuat naik di Instagram beliau.
Dalam kapsyen yang ditulis penuh emosi, Ojen meluahkan kesedihan dan tekanan yang ditanggung selepas beberapa ujian berat melanda perniagaannya di Sabah. Beliau berkongsi rasa hancur selepas ditipu sebanyak RM250,000, diikuti pula dengan ribut yang memusnahkan kesemua 10 oven industri mereka yang menjadi peralatan penting untuk operasi perniagaannya.
Lebih menyayat hati pada hari berikutnya, beberapa staf pula terlibat dalam kemalangan. Ojen mengakui bahawa beliau sudah terlalu lama berpura-pura kuat, namun kejadian menimpa stafnya itu menjadi punca air matanya akhirnya jatuh juga.
“Benda lain ojen boleh tahan tapi bila staff accident, I just cannot. Akhirnya jatuh juga air mata ojen.” Tambahnya lagi.
Walaupun diuji bertubi-tubi, semangat Ojen tidak luntur. Beliau tetap bertekad meneruskan perjuangan untuk menjaga lebih 40 orang staf yang dianggap seperti keluarga sendiri.
Tour perniagaan beliau seterusnya dijadualkan berlangsung di Kompleks Sukan Sandakan pada 11 hingga 15 Jun 2025. Namun dalam keadaan serba kekurangan dan dengan staf yang sudah berkurangan, beliau mengakui tidak pasti bagaimana program tersebut akan diteruskan.
Namun, beliau memohon doa dan sokongan daripada semua agar dipermudahkan segala urusan.
“Tolong doakan. Insyallah, moga dapat diteruskan.”
Kisah Ojen menjadi bukti bahawa di sebalik kejayaan seseorang usahawan, terselit pelbagai pengorbanan, ujian dan air mata yang tidak pernah dikongsikan sepenuhnya kepada umum. Moga segala urusan Ojen dan seluruh pasukannya dipermudahkan, diberi kesihatan serta kekuatan untuk terus melangkah dalam dunia perniagaan.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.