“Mama tebalkan muka minta orang padam video kecam kek batik Hayla.” Itulah luahan hati seorang ibu yang tidak sanggup melihat anak perempuannya dihina hanya kerana menjual kek batik. Wawa Zainal, 34, sanggup mengetepikan ego dan mendekati individu yang memuat naik video berunsur kecaman terhadap kek batik air tangan anaknya, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, semata-mata mahu melindungi emosi si kecil yang baru berusia sembilan tahun.
Menurut Wawa, hatinya hancur apabila melihat Hayla menangis teresak-esak selepas membaca komen-komen pedas yang ditinggalkan oleh netizen di video TikTok tersebut. Walaupun dia sering digambarkan sebagai wanita yang kuat, namun apabila menyentuh soal anak, kekuatan itu runtuh serta-merta. Wawa mengakui sanggup mengenepikan rasa malu dan menghantar mesej peribadi kepada individu berkenaan, meminta agar video itu dipadam kerana tidak sanggup melihat Hayla terus terluka dengan kata-kata yang tidak berperikemanusiaan.
Dalam perkongsian di platform Threads, Wawa menzahirkan rasa terima kasih kepada mereka yang memberikan semangat kepada Hayla, namun pada masa sama mengingatkan netizen agar berhati-hati dalam memberi ulasan. Katanya, tidak salah untuk tidak menyukai sesuatu, tetapi tidak perlu menghina atau merendahkan usaha seorang kanak-kanak yang cuba membina keyakinan dan berdikari.
Dalam satu video yang turut dimuat naik Wawa, Hayla dilihat menangis sambil bertanya mengapa ramai yang mengutuk kek batik jualannya. Rakaman itu merobek hati ramai yang menonton, lebih-lebih lagi apabila Hayla dilihat benar-benar kecewa dan terluka dengan kata-kata yang diterimanya. Wawa juga menulis bahawa dia dan suaminya, Aeril Zafrel, sentiasa berbangga dengan usaha anak mereka, malah sering memberi galakan kepada Hayla untuk terus kuat dan tidak mudah patah semangat.
Sebelum ini, perniagaan kek batik Hayla pernah mencuri perhatian ramai selepas ia mendapat sambutan hangat di media sosial. Namun, di sebalik kejayaan itu, Wawa dan Aeril pernah mendedahkan bahawa Hayla sering jatuh sakit, dipercayai akibat penyakit ain, gangguan yang berpunca daripada pandangan mata penuh iri hati dan dengki.
Kini, bukan sahaja perniagaan kecil Hayla diuji, tetapi juga ketabahan hatinya sebagai seorang kanak-kanak yang baru belajar menghadapi dunia nyata. Dalam keadaan begini, Wawa memilih untuk berdiri teguh di sisi anaknya, membuktikan bahawa kasih sayang seorang ibu adalah benteng terkuat menghadapi kejamnya dunia media sosial.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.