Penyanyi dan pelakon popular, Bella Astillah, 31, tampil memohon maaf sekiranya ada pihak yang berasa kurang senang dengan kandungan dimuat naik di media sosial memaparkan dirinya bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Jelas Bella, segala hantaran yang dikongsi, termasuk video dan gambar bersama Syed Saddiq, bukanlah dilakukan atas dasar peribadi, sebaliknya atas tuntutan kerja dan komitmen profesional yang harus diselesaikan. Dia mengakui memahami ada mata-mata yang memerhati serta membuat tanggapan sendiri, namun dia berharap orang ramai dapat melihat perkara itu dalam konteks sebenar.
Menurut Bella, kerjasama antara mereka berlaku sebagai memenuhi tanggungjawab terhadap klien, terutamanya yang pernah memberi bantuan ke negeri kelahirannya, Sabah, dan juga Muar. Justeru, sebagai balasan, mereka harus melaksanakan beberapa kandungan siaran langsung dan hantaran media sosial sebagaimana dipersetujui. Baginya, ia adalah sebahagian daripada tugas profesional yang harus dihormati. Namun, jika ada yang melihat lebih daripada itu, Bella hanya mampu memohon doa yang baik-baik daripada semua.
Menjawab persoalan tentang kemesraannya dengan Syed Saddiq, Bella menegaskan bahawa segala interaksi antara mereka berlaku secara spontan. Tambahnya, Syed Saddiq bukanlah seorang pelakon, jadi reaksi dan perwatakan dalam kandungan mereka tidak direka-reka atau dilakonkan. Mereka sekadar melaksanakan apa yang telah ditetapkan dalam skop kerja, termasuk keperluan memuat naik beberapa hantaran dalam sebulan, tanpa diarahkan untuk mewujudkan naratif tertentu.
Apabila diasak mengenai status sebenar hubungan mereka, Bella memilih untuk menjawab secara berhemah. Sebagai seorang wanita dan juga ibu kepada dua orang anak, dia mengakui rasa segan dan tidak selesa untuk memperincikan perkara yang bersifat terlalu peribadi kepada umum. Baginya, lebih baik untuk terus berdoa yang baik-baik, kerana banyak hal lain yang perlu diutamakan seperti keluarga dan kerjaya. Malah, beliau mengingatkan bahawa masing-masing mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga sendiri, dan itu memerlukan kepekaan serta pertimbangan yang matang.
Dalam perkembangan seninya, Bella turut berkongsi mengenai pelancaran lagu duet terbaharunya bersama pemuzik terkenal dari Indonesia, Ade Govinda, berjudul Lebih Indah Berpisah. Lagu ini menurut Bella, merupakan karya yang cukup dekat dengan dirinya kerana ia membawa mesej tentang keberanian dan keikhlasan dalam melepaskan sesuatu yang pernah bermakna. Selepas kejayaan single sebelumnya, Tapi Bukan Denganmu, Bella percaya karya terbaharu ini akan membuka satu lagi ruang untuknya menyentuh hati para pendengar dengan lebih mendalam. Lagu yang digarap penuh emosi oleh Ade ini disifatkan Bella sebagai simbol kekuatan dalam perpisahan yang dilakukan dengan jiwa yang reda dan tenang.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.