Ahli perniagaan dan pengerusi gergasi alat ganti kereta Sona Cornstar, Sunjay Kapoor yang pernah berkahwin dengan aktres Karisma Kapoor telah meninggal dunia pada Khamis (12 Jun 2025) baru-baru ini.
Sunjay, 53 tahun, dilaporkan mengalami serangan jantung mengejut semasa bermain perlawanan polo. Dipercayai kejadian itu berlaku selepas dia secara tidak sengaja tertelan seekor lebah, yang membawa kepada sengatan dan menyebabkan dia sesak nafas.

Seperti yang dilaporkan di The Telegraph, mereka yang hadir pada perlawanan polo tersebut mendengar Sunjay berkata, “Saya tertelan sesuatu”.
Kata-kata terakhirnya itu menyebabkan ramai yang percaya dia telah menelan serangga secara tidak sengaja. Laporan kemudiannya mengesahkan bahawa serangga tersebut adalah lebah.

Manakala rakan perniagaannya, Suhel Seth, turut memberitahu ANI News, bahawa Sunjay telah meninggal dunia akibat serangan jantung semasa perlawanan polo di England.
“Sunjay meninggal dunia akibat serangan jantung, nampaknya selepas menelan lebah semasa perlawanan polo di England”.
Memetik kenyataan di New York Post, pakar berkata sengatan dalaman boleh membawa maut kerana ia boleh menyebabkan pembengkakan dengan serta merta, saluran pernafasan tersumbat dan penurunan tekanan darah secara tiba-tiba, mengakibatkan serangan jantung.

Istiadat terakhir Sunjay mungkin akan diadakan di Delhi, tetapi mungkin ada kelewatan untuk membawa pulang mayatnya ke India disebabkan oleh kewarganegaraannya Amerika Syarikat.
Sekadar info, Karisma dan Sunjay telah mengalami perceraian kontroversi pada tahun 2016, selepas 13 tahun berkahwin dan aktres itu turut memfailkan rayuan keganasan rumah tangga.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.