Gandingan Amira Othman bersama ibu kepada Fattah Amin, Azizah Abdul Ghani dalam sebuah video promosi produk yang dimuat naik di Instagram penyanyi dan pelakon itu telah mencuri perhatian ramai. Apa yang menjadi bualan bukan sekadar kemunculan mereka bersama, tetapi kemesraan luar biasa yang terjalin hingga Amira selesa memanggil Azizah sebagai “ibu”, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi netizen yang menyifatkan mereka ibarat menantu dan ibu mentua yang serasi.
“Teman sekerja pinjam sekejap ye ibu awak @fattahaminz,” tulis Amira ringkas namun penuh makna di kapsyen video tersebut. Aksi mesra dan natural itu seolah-olah memberi bayangan hubungan yang lebih daripada sekadar rakan sekerja, apatah lagi selepas mereka berdua dilihat kerap meluangkan masa bersama dalam beberapa acara, termasuk majlis ilmu dan juga perjumpaan keluarga.
Ruangan komen dipenuhi pelbagai reaksi yang menyokong serta ‘merestui’ gandingan mereka. Ada yang bergurau, menyifatkan panggilan “ibu” itu sebagai ‘hint’ jelas bahawa hubungan antara Amira dan Fattah bakal melangkah ke fasa lebih serius. “Kalau dah panggil ibu, jawapannya sah kan kawan-kawan? Majlis kat JB nanti jangan lupa jemput saya,” tulis seorang netizen. “Kenapa nak pinjam ibu rakan sekerja, kalau boleh kongsi ibu bersama,” tambah yang lain.
Malah, ramai juga yang mendoakan agar Amira dan Fattah benar-benar disatukan sebagai pasangan suami isteri, setelah melihat keserasian yang ditunjukkan dalam pelbagai video serta interaksi yang tulus antara Amira dan ibu Fattah. “Semoga Amira dan Fattah akan bernikah,” tulis salah seorang pengguna media sosial, mewakili sentimen ramai.
Tambah mencuit hati, Azizah dilaporkan turut melawat Amira ketika penyanyi itu dimasukkan ke hospital akibat keracunan makanan baru-baru ini. Bukan sekadar ziarah biasa, Azizah hadir bersama jambangan bunga, memperlihatkan kasih sayang seorang ibu yang sudah menerima ‘anak’ dalam hidupnya, walaupun secara rasmi hubungan itu masih belum terjalin.
Hubungan antara Fattah dan Amira mula menjadi perhatian sejak akhir tahun lalu apabila mereka kerap muncul bersama dalam video promosi produk. Walaupun sering menafikan hubungan itu lebih daripada sekadar rakan sekerja, namun keakraban yang terserlah di hadapan khalayak menimbulkan pelbagai spekulasi.
Fattah, yang kini bergelar duda selepas perkahwinan tujuh tahunnya bersama Nur Fazura berakhir pada 7 Oktober tahun lalu, dilihat lebih terbuka dan tenang menjalani kehidupan bersama anak perempuan mereka, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia lima tahun.
Dengan gelaran ‘duda hot’ yang kini melekat padanya, serta sokongan kuat daripada peminat yang tidak henti-henti mendoakan jodohnya bersama Amira, ramai mengharapkan hubungan ‘teman tapi mesra’ ini tidak lagi diselindungkan dan akhirnya menuju ke arah ikatan yang sah.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.