Sudah hampir tiga minggu sejak kemalangan tragis meragut nyawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Nurly Shahirah Azman.
Kehadiran Pengunjung Yang Tidak Putus-Putus
Namun pusara dan kediaman keluarganya terus menerima kunjungan orang ramai.
Kehadiran pengunjung bukan sahaja untuk menziarahi kuburnya, malah turut ingin melihat al-Quran tulisan tangan milik Allahyarhamah yang mencuri perhatian ramai selepas kejadian.
Menurut perkongsian Facebook seorang individu bernama Ahmad Nazrul, pada 28 Jun, lebih lima buah bas dan puluhan kenderaan telah memenuhi kawasan sekitar masjid dan rumah keluarga arwah.
Malah ada pengunjung yang sanggup berjalan kaki lebih dua kilometer demi menziarahi kediaman dan pusara Nurly Shahirah.
Berlaku Perbuatan Khurafat?

Keluarga arwah dilaporkan sangat mengalu-alukan kehadiran orang ramai ke rumah mereka dan bersikap terbuka, walaupun mereka tidak mampu menyantuni semua pengunjung yang hadir.
Namun, dalam suasana yang sepatutnya diisi dengan doa dan penghormatan, berlaku pula perbuatan khurafat oleh segelintir pengunjung.
Melihat kepada satu hantaran di Tiktok milik Ganu Best, dikatakan ada individu yang dipercayai mengambil tanah kubur arwah dengan tujuan tertentu yang dipercayai melibatkan amalan khurafat atau kepercayaan tahyul.
Memasang Tali Penghadang

Malah melihat kepada ruangan komen, ramai yang menegur dengan menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah haram dan berdosa besar, bahkan boleh membawa kepada syirik.
Ia bukan sahaja menghina kehormatan si mati, tetapi juga melanggar syariat Islam yang jelas melarang amalan sebegitu.
Malah dalam perkongsian tersebut juga, Ganu Best menerangkan bahawa demi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang, keluarga arwah telah bertindak memasang tali penghadang di sekeliling kubur Allahyarhamah pada petang Sabtu lalu.
Langkah ini diambil sebagai usaha melindungi kawasan kubur daripada dicemari dengan amalan khurafat dan perbuatan syirik oleh individu yang tidak bertanggungjawab.