Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan sisi keibuan yang penuh kelembutan dan kasih sayang menerusi sebuah nukilan menyentuh hati sempena ulang tahun kelahiran ke-41 putera sulung baginda, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, baginda mengimbas detik istimewa kelahiran Tunku Ismail yang jatuh pada 1 Syawal, suatu momen raya yang amat bermakna dalam kehidupan mereka sebagai ibu bapa buat pertama kali. Dalam catatan itu, Raja Zarith mengimbas bagaimana Sultan Ibrahim dimaklumkan tentang kelahiran putera sulungnya ketika sedang menziarahi keluarga di pagi Syawal, satu pengumuman yang disambut dengan penuh rasa syukur dan kegembiraan.
Kenangan zaman kanak-kanak Tunku Ismail turut dikongsikan, termasuk saat emosional pada hari pertama persekolahan apabila baginda terpaksa berdiri di tingkap kelas kerana putera kesayangan enggan ditinggalkan. Detik-detik kecil itu terus terpahat di hati seorang ibu yang menyaksikan perjalanan anaknya membesar bersama adik-adik, sebelum menjalani kehidupan sebagai kadet tentera di India, satu fasa yang menurut Raja Zarith, sangat mencabar buat dirinya dan Sultan Ibrahim.
Namun mereka bersyukur kerana dapat melawat Tunku Ismail di Akademi Tentera India, dan menyaksikan bagaimana anakanda mereka dijaga dengan penuh kasih oleh keluarga angkat yang menyambut kehadirannya dengan hati terbuka.
Lebih menyentuh jiwa, Raja Zarith turut mengenang keletah Tunku Mahkota ketika masih kecil yang gemar meminta permainan video Playstation setiap kali versi baharu dikeluarkan. Tunku Ismail sangat gemar permainan FIFA dan bercita-cita mengurus pasukan bola sepak secara maya, sesuatu yang tidak pernah disangka akan menjadi kenyataan dalam dunia sebenar, satu kiasan halus terhadap penglibatan Tunku Mahkota dalam pembangunan sukan dan pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim yang kini dikenali di peringkat antarabangsa.
Nukilan tersebut diakhiri dengan doa tulus Raja Zarith Sofiah buat anakandanya agar sentiasa diberkati dengan kesihatan, kebahagiaan dan kejayaan dalam kehidupan. Baginda juga berharap agar Tunku Ismail dikurniakan kebijaksanaan dalam menggalas amanah sebagai bakal Sultan yang mengasihi serta menjaga rakyat Johor dengan penuh tanggungjawab. Sebuah catatan yang bukan sahaja memperlihatkan sisi seorang raja, tetapi juga kelembutan dan cinta sejati seorang ibu kepada anaknya.