Drama komedi popular terbitan Unit Drama TV RTM (UDTV RTM), Enjoy Your Stay, bakal kembali untuk musim kedua dengan jalan cerita yang lebih menarik, penuh kejutan serta sarat dengan elemen lawak bersahaja.
Mengekalkan Pengarah Yang Sama

Selepas menerima sambutan hangat daripada penonton bagi musim pertamanya, drama 13 episod ini akan mula bersiaran pada 9 Julai setiap hari Rabu, pukul 9.00 malam di saluran Okey dan RTMKlik.
Masih mengekalkan sentuhan pengarah Ikhsan Sukiman, musim kali ini memilih Santubong, Sarawak sebagai lokasi utama penggambaran.
Selain memberi nafas baharu kepada penceritaan, lokasi ini turut membantu mempromosikan keindahan alam semula jadi Sarawak kepada penonton di seluruh negara.
Kemunculan Watak Baharu

Pelakon utama Harris Alif kembali sebagai Sean, bersama barisan pelakon hebat seperti Chacha Maembong (Ariana), Sangeeta Krishnasamy, Taqim Zaki, Emily Elizabeth, Riezman Khuzaimi dan Ruby Ooi.
Kisah bermula apabila Sean bercita-cita menjadi General Manager di Damai Beach selepas Beber melanjutkan pelajaran.
Namun, kehadiran Ariana, anak saudara Tuan Adam, mencabar kedudukannya dan menimbulkan persaingan.
Kemunculan watak baharu seperti Orked, gadis Kadazan Dusun yang menjadi pengajar renang, serta Mat Boyak yang menggemari muzik rock dan kini berperanan sebagai Sous Chef, menambah lagi warna dalam drama ini.
Lebih Hiburan

Sangeeta pula muncul sebagai peguam yang sering terjebak dalam kekecohan hotel semasa bercuti.
Musim ini menyorot bagaimana Sean dan Ariana bekerjasama menangani pelbagai isu di hotel, selain menyelami kisah lucu dan menyentuh hati para pekerja serta tetamu.
Enjoy Your Stay musim kedua menjanjikan hiburan ringan berlatarkan suasana indah bumi Kenyalang, penuh gelak tawa dan mesej bermakna.