Nama Putera Harry dan Meghan Markle sekali lagi menjadi bualan ramai selepas dilaporkan telah memberhentikan beberapa pekerja mereka.
Memetik kenyataan daripada Page Six, langkah ini diambil oleh pasangan diraja itu untuk menjimatkan kos. Putera Harry dan Meghan didakwa telah memberhentikan sekurang-kurangnya 25 pekerja sejak berpindah ke Amerika Syarikat pada tahun 2020.
Untuk pengetahuan kamu, sebanyak empat orang pekerja dalam pasukan komunikasi telah diberhentikan. Manakala pada bulan Jun lalu, sebanyak enam pekerja termasuk dua wakil dalaman diberhentikan.
Langkah memberhentikan pekerja ini dikatakan sebagai strategi penjimatan untuk jangka masa panjang. Ini kerana Putera Harry dan Meghan lebih suka mengupah perkhidmatan firma hubungan awam (PR) profesional daripada pekerja tetap dalam bidang komunikasi.
Keputusan ini dianggap lebih cekap dari segi kewangan, memandangkan kos menggunakan agensi jauh lebih murah berbanding membayar pekerja sepenuh masa.
“Mereka (Putera Harry dan Meghan) menggantikan pekerja sepantas orang menggantikan tisu tandas. Malah susu tahan lebih lama daripada pekerja mereka”, ujar sumber dari kalangan diraja Britain.
Pakar industri PR juga menyatakan bahawa pengambilan firma luar boleh mengurangkan kos operasi dengan ketara, lebih-lebih lagi apabila Putera Harry & Meghan kini berdepan dengan beban kewangan yang tinggi di Amerika Syarikat.
Sekadar info, setiap tahun Putera Harry dan Meghan dilaporkan perlu memperuntukkan sekitar $2 juta (RM 8,507,995.38) untuk kos keselamatan peribadi. Selain itu, mereka juga perlu membayar cukai harta tahunan sekitar $288 ribu (RM 1,225,151.33) untuk kediaman mewah mereka di Montecito, California.
Walaupun adik Putera William itu berdepan dengan kritikan umum mengenai penggantian pekerjanya, langkah Putera Harry ini mencerminkan usaha realistik untuk menguruskan kewangan selepas berundur daripada tugas diraja.
Apa pendapat kamu?