Perkongsian menyentuh hati oleh usahawan terkenal, Dato Seri Vida (DSV), sekali lagi meruntun jiwa ramai apabila beliau hadir menziarahi keluarga Allahyarhamah Nurly Syahirah, pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam kemalangan tragik di Gerik, Perak pada 9 Jun lalu.
Menerusi video yang dimuat naik di Instagram rasmi beliau, DSV dilihat tidak dapat menahan sebak sepanjang berada di kediaman keluarga arwah. Dengan nada penuh emosi, beliau meluahkan rasa simpati dan memahami kedukaan yang dialami ibu arwah, memandangkan dirinya juga pernah kehilangan dua orang anak akibat kebakaran rumah lebih sedekad lalu.
“Dulu saya hilang anak dalam tragedi kebakaran. Hari ini, saya tatap pusara anak orang lain mangsa kemalangan pula. Tapi perasaannya sama, pilu yang menikam.” luah DSV di kapsyen.
Dalam suasana penuh pilu itu, DSV menyampaikan kata-kata semangat kepada keluarga arwah. Beliau turut memuat naik beberapa video lanjutan lawatan beliau di pusara arwah serta melihat al-Quran penulisan tangan arwah sendiri.
Siapa Nurly Syahirah?
Arwah Nurly Syahirah Azman, 23, merupakan seorang pelajar UPSI yang cukup dikenali sebagai seorang hafizah Al-Quran. Beliau telah berjaya menghafal 30 juzuk Al-Quran dan mengamalkan kaedah tahriri, iaitu menyalin semula ayat-ayat suci dengan tangan untuk mengukuhkan hafalannya. Lebih menyentuh hati, ketika kejadian nahas itu berlaku, beliau dilaporkan masih memeluk Al-Quran di dadanya.
Kisah ketekunan dan keikhlasan Nurly dalam mendalami ilmu agama mengundang rasa kagum dan sayu seluruh negara. Bahkan, rumah dan pusaranya di Besut, Terengganu tidak putus-putus diziarahi orang ramai hingga hari ini. Universiti turut bercadang untuk mewujudkan Galeri Nurly Syahirah bagi memperingati legasi rohani dan semangat cintakan Al-Quran yang ditinggalkannya.
DSV Jadi Wakil Suara Ibu Yang Pernah Kehilangan
Kehadiran DSV bukan sekadar sebagai figura selebriti, tetapi sebagai seorang ibu yang benar-benar memahami kesakitan kehilangan anak. Ramai memuji usaha beliau yang terus konsisten tampil membantu keluarga yang diuji, bukan hanya dari segi kewangan tetapi juga dari sudut emosi dan sokongan moral.
“Semoga keluarga arwah terus kuat. Terima kasih DSV kerana memahami dan hadir memberi kekuatan,” tulis seorang netizen.
Kisah Nurly Syahirah bukan sekadar kisah duka, tetapi warisan ketulusan seorang insan muda yang cintakan agama. Dalam kehadiran DSV, kita melihat nilai simpati dan empati yang sebenar. Semoga roh Nurly dicucuri rahmat dan segala kebaikannya menjadi inspirasi buat generasi akan datang.