Lagu raya baharu Tum Tum Raya, hasil ciptaan Ajay Amai, Napie Hassan dan Shiha Zikir kini mencuri perhatian dengan irama ceria dan lirik yang menyemarakkan semangat Aidilfitri. Lagu yang telah dilancarkan secara rasmi pada 5 Mac lalu, dinyanyikan oleh bekas juara rancangan realiti Famili Duo musim ke-4, Shiha dan Ieda Zikir.
Penggambaran video muzik Tum Tum Raya berlangsung dalam suasana penuh semangat, dengan tenaga kerja dan artis yang bekerja keras dari pagi hingga ke subuh keesokan harinya. Keazaman dan kegembiraan yang ditampilkan mencerminkan kemeriahan sebenar sambutan Hari Raya menjadikannya sebuah karya yang membawa mesej kasih sayang serta kegembiraan.
“Kali ini memang banyak perkara luar biasa yang saya sendiri tak pernah buat. Mula-mula Shiha beri tempoh untuk saya fikir sama ada mahu buat lagu ini atau tidak, apabila saya bersetuju, Shiha pun makin seronok.” Luah Ieda Zikir.
Lagu ini turut mendapat sokongan daripada Giant Malaysia sebagai penaja utama, bersama Kimball dan produk biskut SF, yang percaya bahawa muzik dan perayaan adalah elemen penting dalam menyatukan masyarakat.
Ketua Pemasaran Giant Malaysia, Encik Andre Lim, menyatakan bahawa kolaborasi ini merupakan manifestasi sokongan syarikat terhadap bakat tempatan serta industri kreatif negara. Beliau turut mengumumkan pelancaran dua kempen istimewa sempena Hari Raya, iaitu Kempen Pemberian Motosikal Percuma dan Kempen Jom Sedekah.
Jelas dilihat, Giant Malaysia bukan sahaja membawa keceriaan kepada masyarakat melalui muzik, tetapi juga memperkukuhkan hubungan dengan komuniti melalui aktiviti amal sejajar dengan nilai yang dibawa oleh Giant Malaysia sebagai jenama yang dekat di hati rakyat.
Dengan melodi yang rancak dan lirik yang menggambarkan kegembiraan berkumpul bersama keluarga serta sahabat handai, Tum Tum Raya dijangka menjadi antara lagu raya ikonik yang akan terus dinyanyikan setiap kali Aidilfitri menjelang.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.