Malam tadi, ahli parlimen Muar Yang Berhormat Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menunaikan nazarnya dengan membotakkan kepala selepas berjaya mencapai sasaran mengumpulkan sumbangan sebanyak RM200,000 bagi membeli komputer riba kepada pelajar di kawasan parlimennya.
Ibu Potong Rambut Syed Saddiq
Menariknya, sesi mencukur rambut itu telah disiarkan secara langsung di Astro Awani dan dilakukan sendiri oleh ibunya, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.
“Bismillahirrahmanirrahim, berjuanglah anakku demi rakyat,” lafaz Sharifah Mahani ketika mula mencukur rambut Syed Saddiq.
Bersempena dengan itu, Murai.my mengimbas kembali mengenai beberapa figura terkenal yang pernah memotong rambut secara langsung di kaca televisyen mahupun menerusi media sosial.
Rambut Awie & Amy Search Dipotong Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat
Suatu ketika dahulu, sekitr tahun 1992 menjadi satu peristiwa yang terpenting dalam lipatan sejarah industri muzik tanah air apabila rambut beberapa kumpulan penyanyi rock terkenal telah dipotong berikutan dikaitkan sebagai `imej negatif’. Sebelum itu, mereka telah terpalit dengan pelbagai kontroversi termasuk gaya hidup yang bebas dan ganas. Difahamkan,insiden ‘rusuhan’ semasa konsert Battle Of The Band di Pulau Pinang pada 1986 juga telah menconteng arang ke muka penyanyi rock.
Susulan itu, dua vokalis kumpulan penyanyi rock terkenal, Datuk Awie (Wings) dan Amy Search bersetuju untuk memotong pendek rambut mereka walaupun tidak bersetuju pada awalnya. Menteri Penerangan ketika itu, Allahyarham Tan Sri Mohamed Rahmat telah memotong rambut mereka dan disiarkan secara langsung di RTM. Menurut laporan Sisipan Mingguan Malaysia, Panca pada 8 November 1992, Amy dan Awie menangis berpelukan selepas dipotong rambut pada upacara itu.
Zoey Rahman Botakkan Kepala!
Keputusan pelakon dan pengacara membotakkan rambutnya ternyata mengejutkan ramai peminat. Manakan tidak, Zoey atau nama sebenarnya Mohd Hairey Abdul Rahman sering kali terkenal dengan fesyen rambutnya yang cukup bergaya.
Bagaimanapun, difahamkan keputusan Zoey berbuat demikian adalah kerana ingin memberl laluan kepada rawatan menanam rambut. Ketika itu, Zoey berkongsi sesi mencukur rambut secara langsung di laman Insta-TV nya buat tatapan pengikut dan peminat di laman Instagram.
Fathia Latiff Buat Keputusan Mengejut
Sebelum ini, pelakon Fathia Latiff pernah mencetuskan beberapa kontroversi termasuklah membotakkan kepalanya selepas dikecam gara-gara isu dirinya membuka tudung.
Ketka itu, Fathia membuat video secara langsung di Instagram yang mana memperlihatkan seorang lelaki sedang menggunting rambutnya. Kini, Fathia sudah pun berubah dan kembali bertudung semula sekaligus mencuri perhatian ramai dengan kecantikannya.
Naim Daniel Tunaikan Janji
Setelah single terbarunya berjudul Purnama trending nombor satu di saluran Youtube baru-baru ini, penyanyi Naim Daniel telah memotong rambutnya menerusi siaran langsung Instagram ‘Live’ sebagai janji kepada peminat.
https://www.instagram.com/tv/CIS79augwoI/?utm_source=ig_embed
Biarpun hanya memotong sedikit sahaja rambut hadapannya tidak lama selepas itu, Naim telah memotong pendek rambutnya berbanding penampilan sebelum ini yang selesa dengan berambut panjang.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk kemas kini berita hiburan terkini.