Hampir 39 Tahun Bersama, Amy Umum Berundur Dari Search

Selepas hampir 39 tahun bersama, penyanyi rock lagenda Amy membuat pengumuman yang mengejutkan yang mana dia secara rasminya telah berundur dari kumpulan Search.

IKLAN

 Berundur Demi Kebaikan Bersama 

Pengumuman itu dibuat Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menerusi siaran secara langsung portal Gempak, petang semalam. Menurut Amy, pengunduran itu dibuat untuk kebaikan bersama termasuk memberi peluang buat anggota Search yang lain, Nasir, Kid dan Din untuk meneruskan legasi kumpulan ini tanpa bergantung atau tersekat kerana dirinya.

“Dengan pengumuman ini saya berharap saya tidak menghalang perjalanan atau karier anggota sedia ada,”

Vokal Tidak Lagi Seperti Dahulu

Tambah bapa kepada pelakon Nabila Huda ini, faktor usianya yang kini melewati 62 tahun dan tidak lagi mempunyai kualiti vokal seperti pada usia 26 tahun juga antara mengapa dia membuat keputusan ini.

“Perkara itu terjadi kepada semua penyanyi di seluruh dunia. Saya bukan 26 tahun, tapi 62 tahun. Saya menyanyi apabila dipanggil dalam show atau persembahan tertutup.

Saya kira ia sesuai dengan peredaran masa di mana jika dulu peminat yang membesar bersama saya menonton saya menyanyi di konsert, tapi saat usia meningkat banyak yang memilih untuk menyaksikan persembahan saya secara tertutup,” katanya.

Biarpun begitu, Amy tidak menafikan akan terus menyanyikan lagu Search dalam persembahannya selepas ini dan pengumuman ini bukanlah bermakna dia akan terus meletakkan tanda noktah dalam karier seni.

Ini bukanlah kali pertama Amy membuat keputusan sedemikian. Ini kerana sekitar tahun 1994, Amy pernah keluar dari Search dan tampil dengan album solo berjudul Magic.

Awie ‘Dipinjamkan’

Kekosongan itu telah diisi oleh vokalis Wings, Awie yang ‘dipinjamkan’ buat kumpulan Search.

IKLAN

Menerusi perkongsian Harian Metro pula, salah seorang anggota Search, Nasir berkata kenyataan Amy bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Malah, Search akan terus bergerak bersama Awie tanpa mahu memandang ke belakang.

amy searchAmy Search berundur