Dalam suasana kos sara hidup yang makin mencabar dan tekanan ekonomi global yang tidak menentu, kerajaan tampil dengan satu langkah baharu yang dijangka memberi sedikit kelegaan kepada rakyat khususnya golongan bekerja iaitu pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) bermula 15 April 2026.
Langkah ini bukan sekadar perubahan cara bekerja, tetapi juga sebahagian daripada strategi besar kerajaan dalam mengurus penggunaan sumber negara secara lebih berhemah. Susulan konflik di Asia Barat yang memberi kesan kepada bekalan tenaga dan kos bahan api, pelaksanaan BDR dilihat sebagai pendekatan praktikal untuk mengurangkan pergerakan harian serta beban kos yang ditanggung rakyat.
Pengumuman ini dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, dengan fokus utama untuk mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan bekalan tenaga kekal mampan susulan konflik di Asia Barat.
Jadi, macam mana sebenarnya pelaksanaan BDR ini? Ini yang anda perlu tahu.
BDR Mula 15 April 2026
Menurut kenyataan rasmi pada 1 April 2026, dasar BDR akan melibatkan:
- Penjawat awam
- Agensi kerajaan
- Badan berkanun
- Syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
“Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju melaksanakan dasar bekerja dari rumah bagi kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan bermula 15 April 2026.”
“Tujuannya adalah untuk mengurangkan penggunaan bahan api dan memastikan kemampanan bekalan tenaga. Perincian lanjut akan diumumkan kelak,” katanya.
Apa yang menarik, pelaksanaan dasar BDR ini bukanlah bersifat “one size fits all”. Sebaliknya, ia disusun mengikut kesesuaian setiap negeri berdasarkan Hari Kelepasan Mingguan (HKM) masing-masing.
Pendekatan ini diambil bagi memastikan operasi kerja masih berjalan lancar tanpa menjejaskan sistem penyampaian perkhidmatan, dalam masa sama memberi ruang kepada penjawat awam untuk menyesuaikan rutin kerja mereka dengan jadual cuti negeri.
Jadual BDR Ikut Negeri, Ini Ramai Keliru!
Negeri Cuti Ahad
Bagi negeri yang menjadikan Ahad sebagai hari kelepasan mingguan, pelaksanaan BDR akan dijalankan sepenuhnya selama tiga hari bekerja dalam seminggu iaitu:
- Selasa
- Rabu
- Khamis
Manakala, BDR tidak dibenarkan pada:
- Isnin
- Jumaat
Negeri Cuti Jumaat (Kedah, Kelantan, Terengganu)
Bagi negeri yang bercuti pada hari Jumaat pula, jadual BDR disusun lebih awal dalam minggu bekerja bagi menyesuaikan struktur hujung minggu negeri tersebut.
Pelaksanaan BDR adalah pada:
- Isnin
- Selasa
- Rabu
Manakala tidak dibenarkan pada:
- Ahad
- Khamis
Siapa Yang Layak?
Dalam masa sama, pelaksanaan ini juga bukan melibatkan semua penjawat awam secara automatik. Terdapat beberapa syarat kelayakan yang perlu dipenuhi bagi memastikan dasar ini memberi impak yang signifikan terutama dari segi penjimatan bahan api.
Antara kriteria utama yang ditetapkan adalah seperti berikut:
- Bertugas di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri
- Jarak perjalanan dari rumah ke pejabat melebihi 8 kilometer
Sektor Yang Dikecualikan
Walaupun dasar ini dilihat memberi fleksibiliti kepada ramai, terdapat beberapa sektor kritikal yang tidak terlibat dalam pelaksanaan BDR bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas.
Antara sektor yang dikecualikan adalah:
- Keselamatan & Pertahanan
- Kesihatan
- Pendidikan
Sekadar info tambahan, bagi pegawai yang terlibat dalam urusan pentadbiran dalam sektor-sektor ini, pelaksanaan masih boleh dipertimbangkan tertakluk kepada budi bicara Ketua Jabatan.
Cara Pantau, Bukan Sekadar ‘Work From Home’ Biasa
Walaupun bekerja dari rumah dilihat lebih fleksibel, kerajaan tetap menekankan aspek disiplin dan pemantauan bagi memastikan produktiviti tidak terjejas sepanjang tempoh pelaksanaan ini.
Sepanjang tempoh BDR, penjawat awam perlu mematuhi beberapa ketetapan penting seperti:
- Bekerja dari alamat rumah yang didaftarkan dalam sistem HRMIS sahaja
- Menggunakan aplikasi SPOT-Me untuk rekod kehadiran
- Mendaftar masuk setiap satu jam melalui sistem tersebut
- Prestasi dan output kerja akan dipantau secara berkala oleh Ketua Jabatan
Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan BDR bukan sekadar kelonggaran bekerja dari rumah, tetapi turut disokong dengan sistem pemantauan yang lebih tersusun dan telus.
Bgai Murai, kalau dilihat dari sudut semasa, pelaksanaan BDR ini memang kena dengan timing. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, apa saja langkah yang boleh kurangkan kos harian memang dialu-alukan. Namun, cabaran sebenar adalah memastikan produktiviti kekal tinggi walaupun bekerja dari rumah.








