Zac Daniel bukanlah nama asing dalam dunia fesyen dan peragaan. Dengan lebih 5 tahun pengalaman menapak di pentas fesyen tempatan, Zac telah membina reputasi sebagai seorang model yang matang dan berkelas. Kehadirannya di atas pentas sentiasa menjadi tumpuan kerana aura wajah dan karisma yang kuat, menjadikan setiap langkahnya memikat perhatian penonton.
Kebetulan, kami bertemu Zac di PETRA Lebaran 2026 Raya Soirée, Hilton Petaling Jaya, sempena acara penuh meriah menjelang Hari Raya. Sesuai dengan tema Raya, perbualan beralih kepada baju Melayu, dan Zac tidak lokek berkongsi pandangannya tentang fesyen tradisional yang sering menjadi tumpuan setiap kali musim perayaan.


Jangan Rosakkan Identiti Baju Melayu
Menjelang Hari Raya atau acara-acara tradisional, ramai yang gemar bereksperimen dengan fesyen, kadangkala terlalu berlebihan sehingga kelihatan “sakit mata”. Zac melihat fenomena ini dengan mata seorang profesional, dan beliau berkongsi pandangannya secara tenang.
“Kita boleh memberikan olahan pada baju Melayu supaya nampak berbeza dan unik, ikut kreativiti masing-masing. Tapi ia tidak seharusnya sampai hilang identiti baju Melayu itu sendiri. Kekalkan pemakaian dengan samping yang terletak cantik, sopan, longgar, dan yang paling penting, sedap mata memandang,” kata Zac.
Beliau juga menekankan bahawa dia kurang gemar apabila baju Melayu dipakai terlalu ketat atau terlalu mengikuti bentuk badan.
“Saya sendiri tidak selesa jika ada yang memakai baju Melayu dengan potongan yang terlalu ketat sehingga menonjolkan semua bentuk badan. Ia akan menghilangkan unsur kesopanan yang sepatutnya ada pada pakaian tradisional. Hari ini, saya memilih baju Melayu dengan sampin yang diikat mengikut cara saya sendiri, ringkas tapi tetap mengekalkan identiti dan kesopanan pakaian,” jelasnya lagi.

Menghiasi Muka Depan Majalah Antarabangsa
Selain menekankan aspek tradisional, Zac turut berkongsi tentang kerjaya dan aura profesionalnya di pentas peragaan. Aura kuatnya membolehkannya mencuri perhatian penonton dan membawa koleksi pereka dengan yakin sama ada koleksi feminin mahupun maskulin.
“Dua watak ini, feminin dan maskulin adalah kelebihan saya di pentas. Ia membolehkan saya fleksibel dan menonjol dalam pelbagai jenis koleksi,” kata Zac.
Aura Zac Daniel di pentas peragaan bukan sekadar persepsi, malah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Membuktikan kredibilitinya sebagai seorang model berkaliber, Zac pernah menghiasi muka depan majalah VOGUE Singapore, satu pencapaian besar dalam kerjaya peragaannya. Berkongsi rasa syukur atas kejayaan tersebut, Zac meluahkan perasaannya dengan penuh rendah hati.
“Alhamdulillah. Selepas empat tahun berada dalam industri ini, pencapaian ini menjadi antara detik paling besar dan bermakna dalam kerjaya peragaan saya setakat ini. Tidak pernah terbayang, muka depan majalah pertama saya adalah untuk edisi ulang tahun kelima VOGUE Singapore,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan VOGUE Singapore serta semua pihak yang pernah bekerjasama dengannya sepanjang perjalanan karier. “To every client, magazine, brands and designers I’ve had the privilege to work with, thank you for believing in me and giving me the chance to prove what I’m capable of,” tambahnya lagi.
Kini, Zac sedang dalam misi untuk melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa, membawa identiti fesyennya ke pentas global. Melalui pandangan Zac Daniel, jelas bahawa bergaya bukan sekadar menunjukkan kreativiti, tetapi juga perlu mengekalkan kesopanan dan identiti budaya. Baju Melayu, menurut beliau, boleh diolah dan diperkemas dengan cara kreatif, tetapi harus tetap ringkas, sopan dan menyenangkan mata, agar ia menonjolkan keanggunan pemakai tanpa mengorbankan nilai tradisi.
PETRA Lebaran 2026 Raya Soirée
Berbual dengan Zac di PETRA Lebaran 2026 Raya Soirée, suasana petang yang indah di Hilton Petaling Jaya turut memperlihatkan gaya elegan koleksi terbaru PETRA. Hampir sedekad menyulam identiti Lebaran yang tersendiri, PETRA terus memperkukuh naratifnya sebagai jenama yang meraikan keyakinan wanita moden melalui rekaan yang tenang, matang dan penuh makna. Koleksi Lebaran 2026 hadir sebagai penghormatan terhadap warisan Nusantara yang ditafsir semula melalui perspektif kontemporari berani namun bersahaja.

Menariknya, pelancaran tahun ini menyatukan dua dunia, fesyen dan hospitaliti mewah, menerusi kolaborasi eksklusif bersama Hilton Petaling Jaya. Acara berlangsung di Lobby Event Space (LES), ruang baharu yang direka untuk memenuhi keperluan acara moden dengan sentuhan sofistikasi, menawarkan pengalaman yang berbeza, intim dan elegan.
Berakar daripada siluet klasik baju kurung, koleksi ini ‘digahkan’ melalui potongan moden yang kemas, pemilihan fabrik mewah serta permainan cetakan yang teliti. Tahun ini, PETRA menyelusuri kekayaan budaya Nusantara sebagai sumber inspirasi, menampilkan siluet kebaya dan motif flora romantis yang mengekalkan keseimbangan identiti PETRA ekspresif tanpa berlebihan, tradisional namun relevan.

Dengan 28 rekaan eksklusif merangkumi koleksi wanita, PETRA Petite untuk kanak-kanak, serta Baju Melayu Teluk Belanga, PETRA Lebaran 2026 adalah seleksi lengkap untuk seisi keluarga. Koleksi ini ditawarkan pada harga bermula RM299 hingga RM795 dan boleh didapati secara dalam talian di www.petrartw.com, di PETRA Store Seksyen 7 Shah Alam, serta Isetan KLCC.






