Ibu kepada Allahyarhamah Zara Qairina binti Mahathir, Noraidah Lamat telah meluahkan rasa sedih dan curiganya terhadap kematian anak tunggalnya. Berdasarkan beberapa laporan berita, Noraidah telah mengarahkan peguamnya untuk menguruskan proses penggalian semula kubur Zara Qairina untuk melakukan bedah siasat.
Memetik laporan Buletin TV3, Noraidah menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat setelah dibelenggu pelbagai persoalan mengenai kematian satu-satu anaknya iaitu Zara Qairina.

“Saya mahu persoalan yang berlegar di kepala berhubung punca sebenar kematian saya, Zara Qairina Mahathir, 13, sejak 14 hari lalu bernoktah. Jadi demi mendapat jawapan itu dan keadilan untuknya, saya mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anak digali semula untuk melakukan bedah siasat terhadap jenazahnya.”

Noraidah menambah, ketika pengebumian anaknya itu dilakukan pada 17 Julai lepas, tiada pihak cuba mencadangkan untuk lakukan proses bedah siasat kepadanya. Walau bagaimanapun, selepas selesai pengebumian Noraidah sekeluarga mula menyedari akan beberapa perkara yang mencurigakan tentang kematian Zara Qairina.
“Saya akui kesedihan akibat tragedi menimpa Zara Qairina tak akan padam dan banyak persoalan timbul. Saya mahu tahu punca sebenar kematiannya, justeru proses bedah siasat perlu dilakukan dan kuburnya perlu digali semula. Apa pun keputusan yang keluar hasil bedah siasat kelak dan siasatan polis, saya terima dengan reda kerana ia menjawab segala persoalan yang masih tiada jawapan sehingga kini.”

Untuk rekod, polis sudah pun merakam keterangan 60 saksi berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk 3 individu yang dikenali dengan nama “Kak Wana”, “Kak Dedeng” dan “Tomboi”.
Zara Qairina ditemui dalam keadaan parah pada 16 Julai 2025 di bawah bangunan asrama seelum dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Pelajar berusia 13 tahun itu dilaporkan meninggal dunia pada keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan Zara Qairina terjatuh dari tingat 3 asrama sekolah.