Nama pelakon Emma Maembong menjadi perbualan ramai apabila dia menegaskan bahawa rupa paras tidak menjadi syarat utama untuk gandingkan pelakon lelaki bersamanya dalam sebuah drama atau filem.
Menerusi temu bualnya, Emma mendedahkan bahawa bakat dan keupayaan seseorang untuk menghidupkan watak diberikan jauh lebih penting daripada penampilan fizikal.
“Bagi saya, apa yang utama adalah bakat. Tidak kisah rupa kacak atau tidak asalkan boleh sampaikan watak itu dengan bagus, okay sahaja. Rupa jatuh nombor dua sebab kalau handsome sekalipun tetapi tiada bakat (lakonan) keras kejung, buat apa? Jadi gunakan bakat.”
Pada masa yang sama, Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani binti Ismail, menafikan bahawa drama atau filem tidak boleh ‘laku’ jika pelakon utmanya tidak mempunyai rupa paras yang cantik atau kacak.
“Itu rezeki masing-masing. Tidak kisah orang itu ada rupa atau tiada. Sebab kadang-kadang yang ada rupa tetapi tiada bakat.”
Akuinya, pada masa kini orang ramai lebih bijak dan sangat menghargai bakat berbanding penampilan semata-mata.
“Apabila tiada rupa tetapi ada bakat atau rupa menarik namun kurang berbakat, itu rezeki masing-masing kalau berjaya jadi artis.”
Dari segi perkembangan kerjaya seninya pula, Emma Maembong sedang menjalani penggambaran drama “Kerana Cintanya Itu Dusta”, yang digandingkan bersama pelakon Jazmy Juma dan bakal ditayangkan pada bulan Ramadan akan datang.






