Jasad bekas wartawan penyiaran TV3, mendiang Dato’ Karam Singh Walia, yang meninggal dunia awal pagi tadi, telah selesai menjalani proses kremasi.
Upacara diadakan kira-kira jam 3.30 petang di Krematorium Hindu Simpang Lima, Jalan Bukit Kubur, dengan kehadiran ahli keluarga dan sahabat handai bagi memberikan penghormatan terakhir kepada figura legenda ini. Mendiang dilaporkan meninggal dunia pada jam 3.30 pagi di kediamannya.
Terjun ke dunia kewartawanan secara tidak sengaja
Ramai yang tak tahu, Dato’ Karam mula terjun ke dunia kewartawanan secara tidak sengaja. Bermula sebagai seorang guru, beliau terpanggil untuk bersuara selepas kes wabak denggi melanda perumahannya. Nyawa penduduk terkorban, namun apabila aduan dibuat kepada pihak berwajib, tiada tindakan diambil. Malah, beliau sering diherdik oleh pegawai PBT kerana kerap menegur salah urus alam sekitar.
Master Pantun & Gurindam
Selepas menyertai TV3 pada 1995, namanya terus gemerlapan. Dato’ Karam bukan sekadar wartawan, beliau adalah Master Pantun & Gurindam, menggunakan kiasan Melayu pedas dan mendalam untuk menegur pihak yang merosakkan alam sekitar. Walaupun bukan Melayu, penguasaan bahasa dan peribahasa Melayu beliau memang tahap legenda.
Kisah dan kenangan tentang beliau dikongsikan rakan-rakanya di Threads, termasuk oleh Ras Adiba Radzi:
“Selamat tinggal kepada seorang rakan lama & rakan sekerja kami semua sejak zaman TV3 di Jalan Liku, Bangsar, pada 80-an. Dato’ Karam Singh Walia memang seorang yang tegas. Beliau sering mengguris hati pihak tertentu ketika melaporkan isu alam sekitar. Ditekan dan diugut, tetapi beliau tidak pernah mengalah. Kami sangat menyukai gaya ‘stand-up’ beliau & pantun yang diselitkan dalam setiap laporan. Tapi yang paling kami nantikan ialah berapa kali beliau akan mengangkat tangan semasa membuat liputan. Kami tidak akan lupa akanmu, Karam.”
Dari seorang guru, kemudian wartawan berani dan diangkat menjadi wira alam sekitar, legasi Dato’ Karam Singh Walia terus hidup dalam hati rakyat Malaysia, terutama melalui laporan berani dan pantun pedas yang tidak akan dilupakan.
Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak. MURAI mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga dan sahabat mendiang.








