Suasana sayu di luar mahkamah bertukar sedikit tegang di media sosial apabila satu video memaparkan balu Allahyarham Amirul Hafiz Omar berjalan keluar sambil dipimpin oleh selebriti dan aktivis, Rafidah Ibrahim mula tular.
Dalam rakaman tersebut, Nor Nadia Abdul Majid, 32, dilihat tenang namun jelas masih dalam keadaan berduka selepas kehilangan suami tercinta, Allahyarham Amirul Hafiz, 33, yang maut dalam kemalangan tragis Ahad lalu.
Namun di sebalik momen pilu itu, muncul pula suara-suara netizen yang kurang senang dengan kehadiran Rafidah di sisi balu berkenaan.
“Saya harap sangat balu Almarhum Amirul Hafiz tu jauhkan diri dari Rafidah Ibrahim sebab dia hadir untuk menunggang isu bagi kepentingan sendiri. Kita tak nak simpati kepada keluarga akan jadi menyampah sebab wujudnya makhluk tak tahu malu seperti Rafidah,” tulis seorang pengguna Threads, mencetuskan perdebatan hangat.
Untuk rekod, dalam kejadian sekitar jam 11.40 pagi Ahad lalu, arwah Amirul Hafiz maut di lokasi selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta dipandu tertuduh, R Saktygaanapathy. Difahamkan, kenderaan tersebut dipandu laju dari arah bertentangan di Jalan Raya Barat menuju ke bandar Klang.
Isu ini terus menjadi perhatian ramai memandangkan kes melibatkan pemandu mabuk sering mengundang kemarahan rakyat Malaysia. Dalam masa sama, kehadiran figura awam seperti Rafidah turut mengundang pelbagai persepsi, ada yang melihatnya sebagai tanda sokongan, namun tidak kurang juga yang merasakan ia sekadar ‘menumpang perhatian’.
Terdahulu, Rafidah memang dikenali aktif dalam pelbagai isu masyarakat termasuk mempertahankan Kampung Sungai Baru, menjadikan kehadirannya dalam kes ini tidak terlalu mengejutkan.
Apa pun, dalam situasi penuh emosi seperti ini, ramai berharap fokus kekal kepada keadilan buat arwah dan ketabahan keluarga yang ditinggalkan bukan polemik yang boleh mengeruhkan lagi keadaan.








