Penyanyi dan penulis lagu, Kelly Clarkson mendedahkan bahawa dia tidak pernah menerima kereta yang dijanjikan kepadanya selepas memenangi rancangan pencarian bakat, ‘American Idol’.
Walau bagaimanapun, penyanyi itu menerima kontrak rakaman bernilai $1 juta (RM3,932,000) sebagai sebahagian daripada hadiah apabila dia dinobatkan sebagai pemenang musim pertama pertandingan itu, kira-kira 24 tahun yang lalu.
Pendedahan itu dibuat dalam salah satu episod rancangannya, ‘The Kelly Clarkson Show’, apabila pemenang musim keempat ‘The Traitors’ iaitu Rob Rausch memberitahunya bahawa dia belum menerima hadiah wang tunai selepas memenangi rancangan tersebut.
“Saya benar-benar faham perkara ini (situasi Rob tidak menerima hadiah wang tunai). Awak mungkin belum lahir pun masa saya di ‘American Idol’. Tapi mereka macam, “Oh awak memenangi satu juta dolar”. Tetapi itu sebenarnya dusta. Ia sebenarnya bukan satu juta dolar tetapi pelaburan bernilai satu juta dolar dalam kerjaya awak.”
Kelly mendakwa dia tidak pernah menerima kereta yang dikatakan sebagai sebahagian daripada hadiah kemenangan.
“Mereka (Pihak ‘American Idol’) juga kata awak akan dapat kereta. Saya sangat memerlukannya, kerana kereta saya rosak teruk dan saya tidak mampu membayar potongan insurans. Tetapi ternyata ia tidak benar! Saya tidak pernah mendapat kereta!”
Pada masa yang sama, dia juga mendedahkan bahawa Clay Aiken, naib juara musim kedua ‘American Idol’ memenangi sebuah kereta. Apa yang lebih mengejutkan, ibunya turut dihadiahkan sebuah kereta!
“Perkara yang melucukan ialah Clay Aiken, yang tidak memenangi musim kedua pun, mendapat sebuah kereta. Malah ibunya juga!”
Bagaimanapun, MURAI rasakan pihak rancangan tersebut perlu menjelaskan perkara yang sebenar dan menyelesaikan kekeliruan tersebut. Apa kata kamu?






