Tanggal 14 Februari 2026 akan terpahat sebagai salah satu detik bersejarah dalam industri muzik tanah air apabila 55,000 jiwa memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil bagi menyaksikan “Majlis Tertinggi Rockqueen”, sebuah perhimpunan agung muzik yang didedikasikan khas buat para peminat beliau.
Dianjurkan oleh Hitman Solutions dan Rockqueen, konsert berskala mega ini bukan sekadar hanya sebuah persembahan, tetapi juga adalah manifesto tentang ‘Peace, Love dan Rindu’ yang menyatukan generasi. Malam tersebut membuktikan legasi Ella terus mendominasi merentasi zaman, bukan hanya sebagai ikon, tetapi sebagai suara jiwa rakyat.

Konsert dibuka dengan penuh dramatik menerusi persembahan 30 koir kanak-kanak sebelum kemunculan Ella dengan lagu “Rama Rama” menggegarkan stadium tepat jam 8:30 malam. Sorakan gemuruh bergema seakan satu deklarasi bahawa takhta Ratu Rock Malaysia kekal utuh.
Persembahkan 35 Buah Lagu

Berlangsung lebih dari tiga jam, dengan sebanyak 35 lagu dipersembahkan, termasuk deretan karya ikonik seperti “Baldu Biru”, “Dua Insan Bercinta”, “Layar Impian”, “Peace Love Rindu” dan kemuncak malam, “Standing In The Eyes Of The World” yang dinyanyikan beramai-ramai, dengan iringan piano oleh pencipta dan komposer asalnya, Dato’ Wah Idris serta diiringi barisan atlet berkelas dunia tanahair— telah mencipta momen penuh emosi.
Barisan Artis Jemputan Yang Hebat

Malam bersejarah itu turut diserikan dengan penampilan istimewa barisan artis jemputan untuk berduet seperti Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider serta The Boys (Ella & The Boys). Kemunculan mengejut Amy Search dan Joe Flizzow mencetuskan sorakan luar biasa dan menjadi antara detik paling tular malam tersebut.

Mengelilingi Stadium Bersama Atlet Kebanggaan Negara!

Momen paling simbolik ialah apabila Ella mengelilingi stadium menaiki trak sambil menyampaikan lagu “Standing In The Eyes Of The World”, dengan diiringi barisan atlet kebanggaan negara seperti Datuk Nicol David, Ridzuan Puzi, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Farah Ann Abdul Hadi menjadikan malam tersebut sebuah simbol penyatuan muzik dan semangat kebangsaan.
Segmen penghormatan khas kepada legenda seperti Datuk Ramli Sarip dan Dato’ M. Nasir turut menyentuh hati, menghubungkan sejarah dengan masa depan dalam satu naratif yang penuh makna.

Lebih membanggakan, konsert ini turut membawa misi kemanusiaan apabila lebih RM100,000 berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada pertubuhan kebajikan terpilih membuktikan bahawa muzik bukan sekadar hiburan, tetapi juga sebuah wadah memberi dan berkongsi.






