Ahli kumpulan KATSEYE, Manon Bannerman menjadi topik perbualan ramai sekali lagi selepas memadam nama kumpulannya daripada akaun Instagram peribadinya. Tindakan ini dipercayai berlaku selepas agensinya, HYBE Entertainment mengumumkan Manon akan ‘berehat’ seketika daripada KATSEYE.
Terbaru, dia didakwa tidak hadir dalam kemunculan semula KATSEYE yang terbaru. Manon didakwa langsung tidak memberi sebarang reaksi terhadap promosi kumpulannya di media sosial.

Selepas timbulnya banyak spekulasi, Manon akhirnya bersuara dalam catatan yang disiarkannya di Weverse. Menurutnya dia dan HYBE Entertainment x Geffen Records (HxG) kini sedang berbincang secara positif tentang kerjayanya.
“Saya dan HxG sedang berbual secara positif, dan saya rasa disokong. Saya gembira dan sihat. Saya akan berkongsi lebih banyak lagi tidak lama lagi. Terima kasih kerana sentiasa ada untuk saya.”

Manon turut meluahkan rasa terharunya atas sokongan yang telah ditunjukkan oleh peminatnya kepadanya.
“Terima kasih banyak atas semua kasih sayang dan sokongan yang telah anda berikan kepada saya. Saya sangat berterima kasih atas kesabaran dan kebaikan yang telah ditunjukkan oleh semua orang kepada saya sepanjang tempoh ini.”
Untuk perkembangan karier KATSEYE, kumpulan itu bakal membuat kemunculan semula dengan single terbaru “Pinky Up” yang dijangka dikeluarkan pada 9 April 2026. Single ini menandakan keluaran pertama KATSEYE selepas Manon ‘berehat’ sejak Februari 2026.






