Penyanyi muda Malaysia, Nur Aufahanie Mokhtar atau lebih mesra disapa Aufahanie, sekali lagi mencuri perhatian netizen apabila tampil memberikan kata-kata sokongan kepada Julia, anak kepada pelakon dan personaliti, Betty Benafe.
Segalanya bermula apabila satu video tular memperlihatkan Julia meluahkan perasaannya sambil memohon maaf sekiranya tindakannya sebelum ini dilihat kasar ketika berdepan situasi bersama peguam serta ahli keluarganya di hadapan rumah. Dalam rakaman itu, Julia dilihat cuba mempertahankan dirinya daripada menurut kehendak bapanya, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet.
@juliabanafee I had enough pls daddy i need a wisdom father pls stop.#fyp @bettybanafee
Namun di sebalik perdebatan yang tercetus, ramai yang tersentuh dengan keberanian Julia bersuara dan menyusun kata dengan tenang walaupun dalam situasi yang cukup emosional. Ramai netizen memuji kematangannya, dan tidak kurang juga yang menganggap Julia cukup berani untuk seorang remaja yang sedang melalui fasa sukar dalam hidup.
Awak seorang yang sangat kuat- Aufahanie
Antara yang turut terpanggil untuk memberi sokongan ialah Aufahanie sendiri. Dalam komen yang tular, Aufahanie menzahirkan rasa kagum dan empati kerana dia juga pernah melalui situasi yang hampir sama sebelum ini. Kata-katanya penuh lembut dan menyentuh hati:
“Hi Julia. Awak seorang yang sangat kuat. Kakak benar-benar faham apa yang awak sedang lalui kerana kakak sendiri pernah melalui situasi yang sama sebelum ini… tetapi situasi awak lebih mencabar.
Kakak mendoakan agar awak, adik awak dan ibu awak akan menemui jalan penyelesaian serta mendapat ketenangan yang kalian semua layak dapat. Peluk jauh dari kakak. Awak sangat-sangat kuat dan bijak.
Teruskan berjuang untuk diri sendiri ya sayang. Kami sangat bangga dengan awak, awak telah mengendalikan semuanya lebih baik daripada orang dewasa. Kakak harap sangat dapat datang dan peluk awak.”
Tambahnya lagi, Julia telah menunjukkan kekuatan luar biasa walaupun berdepan cabaran yang lebih berat daripada kebanyakan orang seusianya. Dia turut meluahkan rasa bangga serta harapan agar Julia terus kuat dan tidak berputus asa.
Perkongsian itu sekali lagi menunjukkan sisi empati Aufahanie sebagai figura muda dalam industri hiburan—bukan sekadar sebagai penyanyi, tetapi juga sebagai seorang kakak yang memahami luka dan kekuatan seseorang wanita yang sedang berjuang mencari ketenangan.







