Baru-baru ini nama pelakon Wafariena Roslan menjadi bualan ramai selepas muncul beberapa dakwaan bahawa dia telah melakukan pembedahan kosmetik bagi membesarkan bahagian pinggulnya.
Meskipun menjadikan mogul kecantikan Kim Kardashian (Kim K) sebagai idolanya, Wafariena menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut. Akuinya, perubahan pada bahagian pinggulnya itu disebabkan oleh konsisten dalam melakukan senaman.
“Saya nafikan perkara itu. Memang tak pernah buat apa-apa untuk baiki. Sejujurnya bulan puasa ini pun saya masih buat senaman. Kalau orang kata badan saya berbeza sebab baiki, sebenarnya tidak.
Saya dapat bentuk badan ini daripada senaman dan biasanya lepas berbuka dan selesai tarawih saya akan bersenam selama satu jam. Selain itu, saya hanya buat skin booster untuk jaga kulit sahaja, bukan untuk mana-mana aset tertentu. Saya buat untuk kesihatan dan penjagaan diri.”
Tidak lokek berkongsi tips, Wafariena mendedahkan dia gemar melakukan senaman squat untuk mendapat bentuk pinggul idaman seperti Kim Kardashian.
“Saya rasa kawan-kawan dalam industri pun ramai yang kagum dengan bentuk pinggul saya. Biasanya perempuanlah yang tanya, “Wafa buat apa?”. Saya jawab cuma senaman.
Saya memang suka bentuk badan yang ada lekuk sedikit. Walaupun taklah sampai nak jadi macam Kim Kardashian, tapi saya suka bentuk badan begitu kerana saya tinggi. Kalau terlalu kurus bagi saya nampak tak cantik.”
“Daripada umur 19 tahun dah buat senaman sekarang dah 31 tahun. Saya buat senaman bukan nak masuk pertandingan atau tunjuk badan. Saya buat untuk diri sendiri supaya rasa yakin, fit dan cantikan diri, itu hak saya.”
Pada masa yang sama, Wafariena juga berkongsi bahawa dia konsisten melakukan senaman sejak usianya 19 tahun dan ia dilakukan hanyalah untuk kepuasan diri sendiri.






