Isu membabitkan hubungan usahawan terkenal Rozita Ibrahim atau lebih mesra dipanggil Bonda Rozita dan anak lelakinya, Dato Seri Aliff Syukri kembali menjadi perhatian netizen selepas timbul dakwaan kononnya hubungan mereka sedang “dingin”.
Spekulasi itu mula tercetus apabila Bonda Rozita didakwa tidak kelihatan beraya bersama anak lelakinya, sekali gus menguatkan andaian dalam kalangan netizen bahawa hubungan mereka tidak seerat seperti sebelum ini.
Namun, Bonda Rozita tampil menafikan dakwaan tersebut menerusi satu video di platform Instagram, menjelaskan bahawa segala tanggapan itu tidak benar.
“Sibuknya (dakwa) tidak beraya dengan anak bonda. Kami sekarang sedang ‘membekukan’ diri dalam media sosial. Siapa kata tidak beraya? Beraya, cuma tidak memuat naik (kandungan) dalam media sosial sahaja,” jelasnya.
Penjelasan itu sekaligus menepis spekulasi yang bertebaran, apabila beliau menegaskan bahawa sambutan hari raya tetap berlangsung seperti biasa, cuma tidak dikongsikan kepada umum di media sosial.
Dalam masa yang sama, perhatian netizen turut beralih kepada satu lagi hantaran peribadi Bonda Rozita yang lebih reflektif, apabila beliau berkongsi tentang fasa kehidupan selepas usia 50 tahun yang disifatkannya sebagai tempoh “free before death”.
Antara perkongsian yang menarik perhatian ramai:
“Siapa pun yang masuk fasa 50 tahun… free before death
Hidup bukan lagi tentang membuktikan apa-apa.
Ramai mungkin sama seperti Bonda
lebih memilih damai tanpa perlu penilaian orang.Dalam diam, Bonda sedar usia makin berkurang…
lalu belajar menikmati sisa waktu yang ada.Yang penting bukan sejauh mana kita capai,
tetapi setenang mana kita kuat menjalaninya.Kadang penat…
bukan kerana hidup berat,
tetapi terlalu lama menjadi kuat untuk semua orang.”
Hantaran tersebut memperlihatkan sisi lebih matang dan tenang dalam diri Bonda Rozita, yang kini dilihat lebih memilih ketenangan berbanding tekanan pandangan luar.
Rata-rata netizen turut bersetuju dengan pandangannya, menyifatkan fasa usia 50-an sebagai waktu untuk lebih menghargai diri, keluarga dan ketenangan mental tanpa perlu terlalu mengejar pengiktirafan orang lain.
Walaupun sebelum ini timbul pelbagai spekulasi, penjelasan serta luahan terbaharu ini jelas menggambarkan bahawa Bonda Rozita kini berada dalam fasa hidup yang lebih damai dan fokus kepada ketenangan diri serta keluarga.







