Dunia drama tempatan sekali lagi jadi topik perbualan hangat apabila beberapa selebriti meluahkan rasa tidak puas hati terhadap jalan cerita drama yang dikatakan sering berulang khususnya isu watak “penyondol” yang didakwa terlalu kerap menjadi fokus.
Namun di tengah-tengah kritikan itu, pelakon dan pengacara terkenal, Che Puan Sarimah Ibrahim tampil memberikan pandangan yang lebih tenang, tetapi cukup tegas mempertahankan industri seni tempatan.
“Jangan ‘bash’ industri sendiri”
Menurut Sarimah, dia sebenarnya sudah lama menyimpan pandangan tersebut sebelum akhirnya meluahkan secara terbuka di media sosial.
Dalam perkongsiannya, Sarimah menegaskan bahawa walaupun industri drama tempatan masih ada ruang untuk penambahbaikan, ia tidak bermakna penggiat seni perlu menjatuhkan industri sendiri di khalayak ramai.
“Sis nak luahkan sesuatu yang sis dah simpan lama juga ni. Kepada mereka yang kata drama-drama lokal kita ni tak ada point, tak ada originality atau pengajaran…” tulisnya.
Sarimah turut mengingatkan bahawa industri hiburan tempatan sebenarnya tidak sebesar industri luar, justeru sokongan sesama sendiri amat penting.
“Please don’t bash your own local industry. We are small enough as it is. We all know improvement is a must and we try our best in the capacity we are given as a team.”

Bila dapat lemon, buatlah lemonade
Dalam nada yang santai tetapi penuh makna, Sarimah juga menyentuh sikap segelintir pihak yang sering membandingkan karya masa kini dengan karya lama.
Menurutnya, bukan semua perkara boleh kembali seperti dahulu kerana industri sentiasa berubah mengikut keadaan dan peluang yang ada.
“Tak payah jadi terpaling ‘let’s go back to the old ways’ atau nak kata buat lebih baik ini dan itu… sebab bila dapat lemon, cuba buat lemonade.”
Perkongsian itu secara tidak langsung mengajak penggiat seni supaya lebih fokus kepada usaha memperbaiki keadaan daripada terus mengkritik tanpa melihat cabaran sebenar di belakang tabir.
Industri kecil, tapi semangat besar
Bagi MURAI, apa yang cuba disampaikan Sarimah sebenarnya cukup jelas, industri hiburan tempatan mungkin kecil, tetapi ia dibina oleh ramai individu yang bekerja keras di belakang tabir.
Dari penulis skrip, pengarah, pelakon sehinggalah kru produksi, semuanya memainkan peranan untuk memastikan sesebuah drama sampai ke kaca televisyen. Dan seperti kata Sarimah sendiri, kalau ada kekurangan sekali pun, mungkin jalan terbaik bukanlah menjatuhkan tetapi sama-sama mencari cara untuk menjadikannya lebih baik.







